Perkhidmatan bayaran tanpa tunai Touch ‘N Go eWallet hari ini melancarkan perkhidmatan terbaharunya, kali ini khas untuk servis teksi yang hanya memerlukan penumpang melakukan imbasan kod QR menggunakan telefon pintar bagi melunaskan tambang, tanpa memerlukan transaksi tunai dijalankan.
Servis ini sebenarnya telah pun berjalan selama tiga bulan dan digunakan oleh 4,000 orang pemandu teksi menerusi kerjasama strategik penyedia aplikasi berkenaan iaitu TNG Digital Sdn Bhd bersama operator teksi EzCab dan Public Cab. Majlis hari ini turut melancarkan kempen #JomTeksi bertujuan untuk mempromosikan servis bayaran tanpa tunai untuk teksi tersebut.
Untuk menggunakan aplikasi ini, pengguna hanya perlu memuat turun aplikasi Touch ‘N Go eWallet di Google Play Store atau Apple App Store, kemudian mengisi kredit tunai di akaun berkenaan. Ketika ingin melakukan pembayaran, pengguna perlu untuk klik ikon ‘Scan’ di dalam aplikasi tersebut untuk mengimbas kod QR teksi yang dinaiki. Seterusnya, sahkan jumlah yang perlu dibayar kepada pemandu teksi (kira dan masukkan sekali bayaran tol, jika ada) dan masukkan jumlah bayaran untuk perkhidmatan teksi tersebut. Masukkan kod pin 6 digit Touch ‘n Go eWallet anda dan pembayaran telahpun disempurnakan serta notifikasi segera akan dihantar melalui SMS.
Pada masa sama, pengguna Touch ‘n Go eWallet boleh melihat sejarah transaksi mereka dengan menggunakan aplikasi berkenaan bagi menyemak pembayaran atau pembelian. Menerusi sistem tanpa tunai ini, bukan sahaja memudahkan pengguna agar tidak risau jumlah tunai dalam poket atau tidak mempunyai wang kecil untuk melakukan pembayaran, malah pemandu teksi juga berasa lebih selamat dari risiko ketika membawa tunai yang banyak atau ditipu menggunakan wang yang tidak sah untuk digunakan.
“Industri pengangkutan turut dipengaruhi perkembangan teknologi dan kepesatan era digital. Dengan kemajuan aplikasi mudah alih untuk perkhidmatan bas dan keretapi, serta peningkatan platform aplikasi ‘e-hailing’ dan perkongsian kenderaan perubahan digital telah banyak mengubah cara industri ini berkembang,” kata menteri pengangkutan YB Anthony Loke Siew Fook, ketika berucap pada majlis pelancaran tersebut.
“Saya berbangga dengan TNG Digital kerana mengambil langkah yang proaktif ini bagi membantu pemandu teksi untuk menjadi lebih inovatif di dalam era digital, di samping memastikan industri teksi kekal mesra pengguna dan berdaya saing. Kemudahan QR untuk teksi berdaftar di Malaysia akan memodenkan industri ini sekaligus membolehkan para pemandu teksi untuk menawarkan kaedah pembayaran yang lebih cekap dan selamat untuk para penumpang. Saya menyeru pemandu teksi di seluruh negara agar melaksanakan kemudahan pembayaran tanpa tunai ini untuk terus maju ke hadapan,” tambahnya lagi.
“Kami menyasarkan supaya 67,000 teksi berdaftar di seluruh negara bertukar kepada kaedah pembayaran QR dengan Touch ‘n Go eWallet menjelang penghujung tahun 2019 dan menjadikan mereka sebahagian daripada senarai ekosistem perusahaan kami. Kerjasama dengan EzCab dan Public Cab adalah usahasama pertama dalam memeterai pelbagai usahasama lain untuk memperkenalkan penyelesaian digital dan memperkasakan pemandu teksi. Kaedah ini dilaksanakan berdasarkan maklumbalas yang diterima untuk kita bergerak maju ke arah masyarakat tanpa tunai,” kata Ketua Pegawai Eksekutif TNG Digital Sdn Bhd, Syahrunizam Samsudin.
Syarikat berkenaan turut mensasarkan lebih 10,000 teksi akan menggunakan aplikasi tersebut menjelang hujung tahun ini dan telah memperkenalkan program rujukan tanpa tunai bagi menggalakkan penggunaan kaedah pembayaran QR di kalangan pemandu teksi dan para penumpang. Setiap pemandu teksi akan menerima 100 PIN tambah nilai Touch ‘n Go eWallet. Setiap satunya bernilai RM8 dan ianya akan diagihkan kepada para penumpang. Pemandu teksi akan mendapat insentif berjumlah RM4 bagi setiap tambah nilai yang digunakan oleh penumpang mereka (Hanya untuk pengguna Touch ‘n Go eWallet yang baru atau kali pertama).
Selain itu, EzCab turut menawarkan promosi istimewa bernilai RM2, eksklusif untuk pengguna-pengguna Touch ‘n Go eWallet buat pertama kali dengan kod promo EZTNGD2. Kod promo ini sah bermula 1 hingga 5 November 2018 dan terhad kepada 500 PIN pertama yang ditebus setiap hari.
Source: Read Full Article