Touch ‘n Go RFID – apa nak dibuat bila kereta dijual?

Sehingga bulan lalu, Touch ‘n Go (TNG) mendedahkan lebih 200,000 pengguna jalan raya telah mendaftar untuk program perintis sistem kutipan tol elektronik RFID. Sekarang, ia masih lagi berjalan sebagai ujian untuk orang awam.

Dengan proses pemasangan sekarang juga boleh dilakukan dengan hanya terus pergi ke tempat tertentu, jumlah perintis ini semakin bertambah. Dalam masa sama, daripada mereka ini, pastinya ada juga yang sudah mahu menukar kenderaan.

Ini termasuklah rakan sekerja kami, Hafriz Shah yang merupakan antara perintis terawal dalam negara. Beliau telah menjual Mercedes-Benz C-Class milik sendiri, dan ini bermakna beliau tidak boleh lagi menggunakan tag RFID yang terdapat pada kenderaan itu. Tag tersebut melekat terus dan ia tidak boleh dicabut untuk diambil oleh pengguna.

Orang lain juga perlu peka dengan perkara ini sekiranya mahu menjual kenderaan mereka yang sudah dipasang dengan tag RFID. Anda perlu menghapuskan hubungan dengan tag tersebut kerana sekiranya tidak, bayaran tol akan ditolak daripada akaun eWallet TNG anda, meskipun ia digunakan oleh pemilik baru kenderaan. Sudah tentu, keadaan sama juga berlaku sekiranya kereta anda dicuri. Tiada pampasan akan diberi sekiranya pelanggan gagal melupuskan tag RFID sendiri.

Satu-satunya cara untuk menamatkan fungsi tag ini adalah dengan menghubungi TnG Careline – anda tidak boleh melakukannya dengan cara lain atas talian ataupun aplikasi eWallet. Sebab yang diberi adalah mereka memerlukan pengesahan suara daripada pemilik untuk melengkapkan proses penghapusan.

Caranya, hubungi Careline di 03-27148888, ikut arahan suara di situ dan tekan #4 untuk perkara berkenaan RFID. Anda kemudiannya akan disambung dengan kakitangan RFID. Proses ini memerlukan anda memberitahu nama penuh, nombor MyKad, nombor telefon, nombor pendaftaran kenderaan terlibat serta baki dalam eWallet.

Menurut Hafriz, semua proses cuma mengambil masa tidak sampai lima minit untuk selesai. Untuk memastikan penghapusan tag anda sudah lengkap, anda boleh memeriksa aplikasi eWallet untuk melihat sama ada kenderaan tersebut sudah dikeluarkan ataupun tidak. Kemudian, anda boleh mendaftar pula tag RFID baru untuk kenderaan seterusnya.

Satu lagi perkara, mereka yang membeli kenderaan terpakai yang sudah mempunyai tag RFID melekat padanya tidak boleh menggunakan tag tersebut kerana TnG memberitahu, tag lama perlu dibuang dan diganti dengan tag baru yang juga perlu didaftarkan semula dalam sistem.

Related Cars for Sale on









Source: Read Full Article