Setelah gambarnya bocor beberapa minggu yang lepas, kini Toyota Avanza facelift 2019 sudah pun dilancarkan secara rasmi di Indonesia. Menariknya, Toyota Astra Indonesia turut memperkenalkan satu lagi model baru yang sebenarnya adalah sama sahaja dengan Avanza tetapi dijadikan lebih mewah iaitu Veloz.
Perubahan paling utama bagi model facelift ini sudah tentu adalah penampilannya, di mana pada bahagian depan, anda akan dapat melihat lampu jenis bertingkat, yang seperti mendapat inspirasi daripada MPV lebih besar Vellfire, sementara bampar pula dijadikan lebih agresif dengan bukaan tengah yang lebih besar dan garis menegak di penjurunya. Ada yang mengatakan, rekaan ini nampak seperti rekaan bampar Mitsubishi Xpander.
Pergi ke bahagian belakang, lampu jenis menegak masih lagi digunakan, tetapi pemantul cahaya pada pintu but dijadikan terpisah dua dan lebih nipis, dan terdapat jalur krom melintang yang bersambung sepanjang bahagian belakang kenderaan. Rim pula bersaiz 14 dan 15 inci (bergantung kepada varian).
Anda juga boleh melihat terdapat beberapa perincian kecil yang berbeza di antara Avanza dan Veloz, sebagai contoh untuk bahagian luarnya, kemasan krom pada gril dan pintu but belakang (kemasan pada Veloz berwarna seakan keemasan), bentuk lampu kabus belakang serta bentuk bahagian bukaan udara bawah bampar.
Rekaan asas bentuk papan pemuka Avanza facelift ini masih lagi sama, tetapi penggunaan skrin infotainmen baru serta butang kawalan pendingin hawa digital menjadikan penampilannya berbeza. Kemudiannya, unit pada Avanza pula menggunakan warna dua tona (atas hitam dan bawah putih kekuningan) manakala Veloz semuanya berwarna hitam.
Ada dua enjin yang ditawarkan untuk Avanza dan Veloz facelift ini iaitu unit empat silinder 16V DOHC Dual VVT-i 1,329 cc dengan kuasa 96.5 hp/120.6 Nm dan juga unit empat silinder 16V DOHC Dual VVT-i 1,496 cc (sama seperti Perodua Aruz, Myvi dan Rush)dengan kuasa 104 hp dan 136 Nm tork. Ia boleh didapati dengan transmisi automatik empat kelajuan ataupun manual lima kelajuan.
Bagi Avanza, terdapat lima varian ditawarkan di sana iaitu 1.3E A/T, 1.3E M/T, 1.3G A/T, 1.3G M/T dan 1.5G M/T dengan harga antara 191.1 juta Rupiah (RM55,646) hingga 221.25 juta Rupiah (RM64,425). Veloz pula ditawarkan dalam empat varian iaitu 1.3 A/T, 1.3 M/T, 1.5 A/T dan 1.5 M/T dengan harga antara 215.65 juta Rupiah (RM62,795) hingga 239.45 juta Rupiah (RM69,725).
Antara kelengkapan lain yang ada pada Avanza dan Veloz facelift 2019 (bergantung pada varian) adalah beg udara hadapan, butang pemula enjin, sistem masuk tanpa kunci, suspensi MacPherson dan brek cakera di hadapan, suspensi 4-Link Lateral Rod dan brek dram di belakang, cermin sisi boleh lipat secara elektronik, pengesan undur dan tempat duduk balutan fabrik.
Source: Read Full Article