Toyota bawa lima buah Corolla hatchback generasi baharu yang diubahsuai ke pertunjukkan SEMA 2018

Toyota nampaknya bersungguh bagi mengangkat kembali jenama mereka sebagai jenama ‘orang muda’ yang tidak asing dalam dunia ubahsuai kenderaan pada pertunjukkan SEMA tahun ini. Selain dari pelbagai Supra, mereka juga membawa lima buah Corolla Hatchback generasi baharu yang telah pun ditingkat taraf ke pertunjukkan berkenaan.

Satu daripada Corolla berkenaan adalah jentera drift untuk Drifter antarabangsa, Fredric Aasbo bagi kejohanan Formula Drift 2018 dibina oleh Papadakis Racing. Dua lagi Corolla dihasilkan oleh publikasi kenderaan ubahsuai Super Street dan juga pelumba-pelumba rali dari Hoonigan yang membina kereta kamera. Manakala selebihnya di bina oleh dua penala persendirian, iaitu SoCal Kustomz dan Muscle Tuner Auto yang menyahut cabaran “Battle of the Shops” Toyota.

Untuk jentera drift Corolla Papadakis Racing, kereta ini telah diubahsuai secara radikal dengan disumbatkan enjin 2.5L 2AR (biasanya ditemui pada Camry) yang diubahsuai bagi menghasilkan 1,000 hp dengan bantuan turbo dan nitrus oksida, serta hanya memacu roda belakang dengan kotak gear G Force GSR.


Beralih ke Corolla Super Street, ia diubahsuai lebih kearah gaya JDM, dan ditala untuk kegunaan ‘track day’. Kereta ini masih mengekalkan keselesaannya, dan turut diberikan tingkat taraf pada sistem stereo.

Jika anda pengikut dunia ubahsuai, tentu kenal dengan Hoonigan bukan? Ya, Hoonigan yang terkenal dengan Ken Block dan video Gymkhana. Corolla milik mereka ini dilengkapi dengan pelbagai cagak kamera termasuk sistem ‘Russian Arm’ pada bahagian bumbung, dan ia bertugas untuk mengejar kereta-kereta ‘bintang’ yang sedang beraksi bagi mendapatkan video yang benar-benar cantik.


Bagi Corolla yang dibina oleh SoCal Kustoms pula, ia lebih bergaya seperti budaya hot-rod Amerika dengan grafik badan ala-filem The Fast and The Furious. Kereta ini turut dibekalkan dengan sistem suntikan nitus oksida bagi menghasilkan lebih kuasa.

Manakala saingannya iaitu Corolla yang dibina oleh Muscle Tuner Automotive, ia mengenakan warna badan dua-tona seperti Toyota Corolla AE86, dan turut dibekalkan dengan nitrus oksida. Kereta ini juga diberikan sistem suspensi custom bagi merendahkan lagi badannnya untuk kelihatan lebih agresif.

Source: Read Full Article