Bagi menyahut cabaran Dakar Rally untuk musim 2019, Toyota Gazoo Racing Afrika Selatan telah mendedahkan tiga jentera yang dibina khas untuk perlumbaan tersebut, diasaskan dari trak pikap Toyota Hilux. Jentera-jentera berkenaan adalah versi tingkat taraf dari musim-musim sebelumnya, yang terbukti boleh bertahan dalam rali jarak jauh berkenaan.
Berbanding model produksi, Hilux yang digunakan ini telah menerima ubahsuai yang begitu ekstensif. Kedudukan enjin tidak lagi berada di hadapan, sebaliknya dipindahkan ke posisi antara belakang pemandu dan tayar belakang. Enjin asal juga tidak lagi digunakan, sebaliknya digantikan dengan enjin V8 turbodiesel.
Enjin dan kotak gear ini sebenarnya adalah unit yang sama dengan jentera perlumbaan yang digunakan pada musim lalu, namun diberikan ubahsuai bagi memenuhi undang-undang Rali Dakar yang dikemaskini, terutamanya saiz diameter restrictor pengecas turbo yang perlu dikecilkan dari 38 mm kepada 37 mm tahun ini. Ubahsuai lain yang dilakukan pada jentera baharu ini termasuk sistem suspensi yang lebih diperhalusi.
“FIA telah berusaha keras untuk cuba menyeimbangkan prestasi antara jentera turbodiesel dan juga jentera V8 NA, seperti jentera kami. Ini merupakan proses yang sedang dijalankan, dan mana-mana kem tentunya akan gembira dengan undang-undang ini, kami tidak mempunyai pilihan tetapi perlu bertahan dengan undang-undang mereka,” kata prinsipal Pasukan Toyota Gazoo Racing Afrika Selatan, Glyn Hall.
“Restrictor yang lebih kecil semestinya menjadi halangan kepada kami tahun ini, tetapi dengan altitud lebih rendah di Peru, kami mungkin mempunyai kuasa bagi memastikan ia terus bergerak,” tambahnya.
Untuk Rali Dakar edisi yang ke-41 ini, Toyota Gazoo Racing Afrika Selatan akan diwakili oleh pasangan Giniel de Villiers bersama juruarah Dirk von Zitzewitz, Nasser Al Attiyah bersama juruarah dari Perancis Mathieu Baumel, serta pemandu Belanda Bernhard ten Brinke bersama juruarah Xavier Panseri.
Source: Read Full Article