Toyota Gazoo Racing Festival 2018 pusingan kedua di MAEPS, Serdang – pertarungan sengit kian membara

Selepas Kuala Terengganu, Toyota Gazoo Racing 2018 diteruskan, kali ini litar buatan khas di MAEPS, Serdang kembali menjadi pilihan. Gegarannya bermula hari ini sehingga kemuncak acara yang bakal berlangsung esok, memberikan peluang kepada para peminat acara perlumbaan untuk menyaksikan secara lebih dekat aksi pelumba pro tempatan dan juga barisan selebriti yang berlumba dalam Toyota Vios Challenge.

Seperti perlumbaan sebelum ini, Toyota Vios Challenge dibahagikan dengan tiga kelas iaitu Promotional, Sporting dan Super Sporting. Litar buatan khas di MAEPS sepanjang 1.99 km ini mempunyai 17 selekoh yang sangat mencabar termasuk laluan naik dan turun bukit.

Untuk Race 1 yang berlangsung hari ini, kelas Promotional dimonopoli oleh Nabil Ahmad, yang baru-baru ini juga telah dinobatkan sebagai Pengacara Hiburan Terbaik Asia 2018. Walau pun ini merupakan pembabitan kali pertama buatnya dalam perlumbaan Toyota Vios Challenge, namun ramai pasti mengetahui Nabil memang cukup berminat dalam perlumbaan. Maka, peluang yang ada ini pasti dirembat, biarpun dikejar rapat oleh selebriti yang pernah beraksi dalam TGR musim lalu, Diana Danielle yang berjaya di tempat kedua.



Nabil berjaya menghabiskan 18 pusingan dengan catatan masa 27 minit 13 saat, manakala Diana pula 27 minit 15 saat. Turut membuat kejutan apabila penyanyi remaja, Aiman Tino, berjaya menduduki tempat ketiga, meninggalkan pencabar terdekatnya, Akim Ahmad dan Akio Takeyama. Manakala Khai Bahar di tempat ke-enam, diikuti dengan Janna Nick dan Nabila Razali. Namun malang bagi Bintang Paling Popular ABPH 31, Wany Hasrita yang tersingkir di pusingan ke-tujuh selepas jentera yang dipandunya melanggar tembok.

“Dari awal lagi saya mahu memastikan agar Diana tidak memotong saya, dan dia memang memberikan persaingan yang sengit. Sebenarnya, (perlumbaan hari ini) lebih kepada tuah kerana rim jentera saya patah tetapi mujur juga tayar tak pancit, jadi saya berpeluang mencabar diri saya hingga ke garisan penamat,” ujar Nabil.

Bagi kelas Sporting, dari awal perlumbaan, Kenneth Koh yang memandu jentera No.28 bijak mencari peluang untuk mendapat tempat terbaik. Memulakan perlumbaan di petak kedua, Koh mengambil peluang memintas Brendon Lim yang agak perlahan pada awalnya yang hanya berpuas hati di tempat kedua. Menurut Lim, kesilapannya berpunca kerana terlupa untuk mematikan pendingin hawa hingga membuatkan jenteranya sedikit kehilangan kuasa.



Manakala Dato’ Ken Foo pula di tempat ketiga dan selebriti yang turut mengambil bahagian ketika musim pertama lalu, Shukri Yahya pula menduduki tangga ke-empat walau pun diberikan persaingan sengit oleh pelumba muda, Hayden Haikal, yang baru berusia 14 tahun. Kedua-dua pelumba berkenaan saling memberikan aksi menarik, hinggakan Shukri berjaya memintas Hayden di pusingan terakhir sebelum perlumbaan tamat.

Untuk kelas Super Sporting pula, pastinya menambahkan lagi kehangatan perlumbaan kerana melibatkan barisan pelumba profesional tempatan, yang saling memberikan aksi terbaik bagi merebut tempat teratas. Boy Wong yang memulakan perlumbaan secara konsisten hingga ke garisan penamat berjaya merebut tangga pertama. Walau pun begitu diberi persaingan sengit oleh William Ho yang rapat mengejarnya dari belakang dengan. perbezaan catatan masa yang hanya sedikit sahaja iaitu 0.7 saat.

Manakala Brendon Paul Anthony hanya berpuas hati di tangga ketiga, diikuti dengan Ser Meng Hui dan Freddie Ang untuk mendapat tempat lima terbaik dalam kategori berkenaan.

Esok akan berlangsung Race 2, dan penentu siapakah pelumba yang berjaya menduduki podium bagi kategori yang dipertandingkan. Jika anda ada kesempatan, jangan lupa untuk berkunjung ke Maeps, Serdang bersama keluarga mahu pun rakan-rakan. Bukan setakat berpeluang menyaksikan perlumbaan hebat ini, bahkan banyak juga aktiviti menarik menanti kunjungan anda.

Source: Read Full Article