Aksi Toyota Gazoo Racing musim kedua pusingan ketiga diteruskan di Stadium Batu Kawan Pulau Pinang untuk hari kedua semalam. Perlumbaan untuk ketiga-tiga kategori dalam Vios Challenge Malaysia masih lagi tidak menghampakan, menyajikan aksi-aksi yang begitu mendebarkan.
Kelas Super Sporting
Perlumbaan hari kedua ini dimulakan dengan aksi dari kategori paling profesional iaitu Super Sporting. Dengan mendapat tempat keenam pada perlumbaan pertama bermaksud Syafiq Ali dari M7 Racing akan bermula pada kedudukan pertama pada perlumbaan ini, diikuti oleh Aliff Hamdan (Laser Motor Racing), Eddie Liew (Team Nanoplus), Keifli Othman (Team Nanoplus), Brendan Paul Anthony (Dream Chaser) dan Boy Wong (ST Wangan).
Sejurus perlumbaan bermula, Syafiq terus meluru meninggalkan pelumba lain di belakang, dan berjaya mengelak sebarang trafik ketika masuk ke selekoh pertama. Eddie Liew berjaya memintas Aliff Hamdan pada aksi seakan perlumbaan drag dari grid permulaan, tetapi ketika Eddie masuk ke garisan dalam pada selekoh pertama, dia dilanggar oleh Aliff dan berpusing, menyebabkan kesesakan pada selekoh berkenaan.
Brendon dan Keifli walau bagaimanapun berjaya mengelak insiden ini kerana mengambil garisan luar pada selekoh berkenaan, dan terus mengejar Syafiq di hadapan. Namun Syafiq yang juga juara perlumbaan endurance Sepang 1000KM (S1K) 2018 terus cool berada di hadapan, mempamerkan pemanduan yang konsisten serta berjaya memenangi perlumbaan kedua ini dengan berada 2 saat di hadapan Brendon, diikuti oleh Keifli Othman.
Kelas Sporting
Untuk kelas Sporting ini, ia bermula bersih tanpa sebarang insiden pada selekoh pertama. Jackson Tan dari Revo Technik yang berada pada kedudukan grid kedua berjaya memintas Eddy Tan (Saksama Motorsport) sebelum tiba di selekoh pertama, dan terus mendahului perlumbaan selepas itu. Eddy bukan sahaja dipintas oleh Jackson, malah terus jatuh ke posisi keempat selepas dipotong oleh Wong Chin Egg (Hiewa Racing) dan pelumba selebriti yang kini telah berlumba pada kelas ini, Shawn Lee.
Walau bagaimanapun, Shawn dikesan telah melakukan jump start dan diberikan penalti 15 saat. Perlumbaan ini kekal tanpa sebarang insiden sehinggalah ke lap-13, apabila Shawn yang cuba memotong Wong bagi merebut kedudukan kedua telah melanggar bahagian belakang kereta Wong dan menyebabkan kemalangan.
Pelumba yang paling menyerlah pada perlumbaan ini sebenarnya adalah Kenneth Koh. Kenneth yang terlibat dengan kemalangan dalam aksi ‘dog fight‘ dengan Brendon Lim pada perlumbaan pertama, memulakan aksi hari kedua ini pada petak ke sembilan. Koh yang juga pemandu rali dan pernah beraksi dalam pasukan Proton Motorsport mempamerkan corak pemanduan flamboyant penuh dengan aksi power slide, menggunakan segala kudrat Toyota Viosnya memotong satu demi satu pelumba di hadapan.
Kenneth tiba di belakang Shawn dan Wong pada lap ke-11, dan pada lap ke-17 beliau berjaya memintas Shawn bagi merebut kedudukan kedua. Kenneth kemudian menjadikan Jackson yang sedang mendahului perlumbaan sebagai sasarannya. Dia terus menerus menyerang Jackson dan berberapa kali melakukan cubaan untuk memotong, namun Jackson berjaya mengekalkan kedudukannya pertamanya sehingga tamat perlumbaan. Dato’ Ken Foo (Kulim Top Wheels) turut mengiringi Kenneth dan Jackson untuk naik ke podium perlumbaan kedua ini.
Kelas Promotional
Untuk kelas selebriti ini, pertarungan antara Janna Nick dan Nabil Ahmad menjadi tumpuan. Janna bermula pada grid paling hadapan, dan terus kekal dan menjarakkan diri di hadapan setelah perlumbaan bermula.
Nabil Ahmad yang berjaya meluru kehadapan terus mengejar Janna, dan akhirnya pada lap ke-18, Nabil berjaya memintas Janna. Namun Janna Nick tidak berputus asa untuk mendapatkan kembali kedudukannya. Dan sangat mengejutkan, Janna berjaya memotong semula Nabil pada berberapa selekoh terakhir pada lap terakhir! Aiman Tino yang tidak bernasib baik pada perlumbaan pertama juga berjaya menamatkan perlumbaan kedua ini di tempat ketiga.
Janna antara pelumba yang berpengalaman untuk musim ini kerana telah bermula sejak dari musim pertama. Selepas 14-perlumbaan dalam siri Vios Challenge Toyota Gazoo Racing Festival, ini merupakan pertama kali beliau berjaya menamatkan perlumbaan di tempat pertama.
Musim kedua TGR Festival akan berakhir pada pusingan keempat selepas ini. Perlumbaan kemuncak berkenaan akan dilangsungkan di Litar Antarabangsa Sepang pada 27 hingga 28 April 2019 nanti.
Source: Read Full Article