Setelah Gazoo Racing mengambil alih tugas sebagai sayap perlumbaan rasmi Toyota, sudah lama kita tak dengar pasal Toyota Racing Development (TRD) bukan? Jenama yang terkenal menghasilkan peralatan berprestasi tinggi rasmi dari Toyota berkenaan lebih popular di Amerika Syarikat, hadir dengan model lengkap seperti Toyota 86 TRD dan Camry TRD, komponen-komponen untuk trak pikap Tacoma, dan mengambil bahagian dalam perlumbaan Nascar.
Bulan lalu Supra generasi baharu telah pun membuat kemunculan secara rasmi, dan sempena Osaka Auto Messe 2019 hujung minggu lepas secara rasmi TRD mendedahkan model khas dari mereka, digelar Toyota GR Supra Perfomance Line Concept TRD. Walau bagaimanapun, tingkat taraf yang ditampilkan ini adalah kosmetik semata-mata, tanpa ada apa-apa pengumuman terhadap peralatan mekanikal.
Kit badan TRD pada Supra A90 terdiri dari lapan komponen berlainan, dan kesemuanya diperbuat dari gentian karbon. Pada bahagian bampar, ia diberikan spoiler bersaiz besar bagi ‘mengaut’ lebih banyak udara. Pada bahagian skirt, ia turut menerima ‘sayap’ bagi mengalirkan udara dengan lebih baik ke bahagian belakang. TRD turut memadankan kemasan tambahan pada pintu Supra A90 ini bagi memadankan perubahan rekaan yang dibuat pada panel bahagian bawah.
Aliran udara dari bahagian tengah tadi akan ‘disambut’ pada bilah dibina bersama diffuser bampar balakang. TRD masih tidak memadankan sebarang spoiler ‘tiang gol’ untuk Supra ini, tetapi spoiler ekor itik yang sememangnya sebahagian dari penutup but belakang diberikan sayap tambahan yang lebih lebar. Bagi menerangkan bagaimana kit badan ini memberikan aliran udara yang lebih baik, TRD turut menyiarkan grafik khas untuk memudahkan pemahaman anda.
Badan kereta konsep ini diberikan warna perak gelap, mengingatkan kita kepada model talaan penuh yang dihasilkan terhadap Toyota Supra JZA70 satu ketika dahulu, digelar sebagai TRD 3000GT. Ia juga menerima rim aloi forged jejari mesh berdiameter 19-inci, dalam kemasan berwarna hitam. Walau bagaimanapun, di bawah laman TRD Jepun berkenaan turut tertulis ‘to be continued‘, mungkin TRD akan memperkenalkan komponen kuasa dan prestasi pula selepas ini?
Toyota GR Supra A90 ini didedahkan di Detroit Januari lalu, dan ia dibangunkan dengan kerjasama BMW menerusi platform yang sama seperti BMW Z4 G29. Seperti kembarnya itu, Supra generasi baharu ini dihasilkan dengan jarak roda yang pendek serta menampilkan nisbah agihan berat 50:50.
Ia ditawarkan dalam tiga versi berbeza iaitu model paling asas dijana enjin 2.0 liter empat silinder turbo berkuasa 197 PS/320 Nm, model pertengahan dengan enjin sama tetapi ditala bagi menghasilkan 258 PS/400 Nm, manakala versi paling berkuasa dengan enjin enam-silinder turbo berkuasa 340 PS/500 Nm.
Source: Read Full Article