Susulan kepada kajian awal yang dijalankan pada 2017, Toyota dan Panasonic kini sudah bersetuju untuk mengadakan satu usahasama pada tahun 2020 bagi tujuan mengeluarkan bateri untuk kenderaan elektrik.
Di bawah perjanjian itu, Toyota akan mempunyai 51% kepentingan di dalam syarikat baru yang akan ditubuhkan itu, sementara Panasonic berhak ke atas peratusan selebihnya. Selain itu, Panasonic juga akan memindahkan lima kemudahan pengeluaran bateri automotif syarikat itu yang kini berada di Jepun dan China (kecuali yang di AS) untuk berada di bawah seliaan syarikat usahasama baru itu nanti.
Kedua-dua syarikat akan membekalkan kelengkapan dan tenaga kerja secara bersama bagi operasi syarikat baru itu nanti. Ia akan meliputi lapangan kajiselidik, pembangunan, kejuruteraan pengeluaran, pengilangan, perolehan, resit pesanan dan hal-hal berkaitan pengurusan lainnya berkaitan bateri lithium-ion, bateri solid state dan bateri generasi akan datang.
“Bersama dengan Panasonic, kami ingin meningkatkan daya saing di dalam teknologi bateri, yang menjadi satu teras terpenting bagi teknologi kenderaan elektrik,” jelas Naib Presiden Eksekutif Toyota, Shigeki Terashi
“Menyatukan Toyota dengan teknologi dan kejuruteraan berkaitan pengeluaran bateri memberi peluang terbaik kepada kami untuk meluaskan lagi jangkaian teknologi bateri automatik kami, yang kini sudahpun mempunyai rekod baik dari segi prestasi dan keselamatan, serta kepantasan,” ujar Pengawai Pengurusan Eksekutif Kanan Panasonic, Masahisa Shibata.
Source: Read Full Article