Toyota perkenal kertas pembalut hadiah Supra A90 sempena Krismas, hasil jualan disalur ke badan amal

Minggu lalu, Toyota telah mengumumkan bahawa unit pertama Supra A90 versi produksi yang keluar dari kilang akan dilelong di acara Barret-Jackson Arizona dan hasilnya akan disalurkan ke dua badan amal. Kini, Toyota GB pula telah memperkenalkan kertas pembalut hadiah dengan corak pelekat penyamaran prototaip Supra A90 yang dijual dan keuntungannya akan disalurkan ke Crisis UK.

Badan nasional untuk membantu golongan gelandangan berkenaan akan menggunakan dana tersebut untuk program Crisis at Christmas. Kertas pembalut hadiah berukuran 695 mm x 1,000 mm tersebut pula akan dijual dengan harga £5 (RM26) untuk setiap set yang mengandungi empat keping kertas. Ia boleh dibeli secara atas talian dari Toyota GB menerusi CrowdFunder.co.uk.

Seperti yang anda boleh lihat, corak yang ditampilkan pada kertas berkenaan adalah seiras dengan pelekat penyamaran badan Supra A90 yang muncul di Goodwood Festival of Speed sebelum ini. Corak camo dengan warna Gazoo Racing iaitu merah-putih-hitam berkenaan turut menampilkan kod casis ‘A90’, kesinambungan dari casis A80 pada Supra generasi sebelumnya.

Toyota Supra generasi keenam berkenaan akan didedahkan secara rasmi di North American International Auto Show (NAIAS) 2019 yang akan berlangsung di Detroit 14 Januari ini. Walau bagaimanapun, minggu lalu bahagian muka sebenar kereta sport tersebut telah pun bocor di internet.

Supra generasi baharu tersebut dibina bersama oleh Toyota dan BMW dimana pengeluar dari Jerman berkenaan membangunkan roadster Z4 generasi terkini di atas platform kereta sport yang sama sejak 2012, walau bagaimanapun pembinaan akhir Z4 dan Supra dilakukan secara berasingan. Menurut laporan sebelum ini, pasukan jurutera antara kedua-dua jenama tersebut tidak lagi berhubung antara satu sama lain sejak pertengahan 2014, jadi berkemungkinan besar karekter akhir kedua-dua kereta tersebut juga tidak sama antara satu sama lain.

Toyota turut mengesahkan bahawa Supra A90 akan dijana enjin petrol 3.0 liter enam-silinder dengan pengecas turbo twin-scroll, bersama sistem suntikan terus dan injap kawalan bervariasi, menghasilkan kuasa lebih dari 295 hp dan tork maksima 450 Nm. Digandingkan dengan kotak gear lapan-kelajuan automatik, Toyota mendakwa Supra generasi kelima ini mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa tidak sampai lima saat.

Kuasa hanya akan dialirkan ke gandar belakang, yang lengkap dengan unit LSD kawalan elektronik aktif. Kereta ini direka dengan nisbah berat hadapan dan belakang 50:50 dan ia turut dibekalkan dengan sistem suspensi adaptif bervariasi (AVS). Perkara lain yang turut disahkan adalah ia bina dengan diatas casis aluminium dan logam komposit, pusat graviti yang lebih rendah dan jarak roda yang lebih pendek dari Toyota 86.

Source: Read Full Article