Teaser demi teaser disiarkan Toyota sebelum generasi baharu Supra A90 yang bakal didedahkan di North American International Auto Show (NAIAS) 2019, berlangsung di Detroit 14 Januari ini. Prototaip kereta berkenaan sudahpun membuat kemunculan (dengan pelekat penyamaran) di Goodwood Festival of Speed 2018 Julai lalu, dan minggu lepas gambar cermin sisi untuk unit produksi pertama disiarkan bersama pengumuman bahawa ia bakal di lelong pada acara Barret-Jackson Arizona.
Terbaharu, Toyota telah menyiarkan satu lagi teaser Supra generasi seterusnya ini dalam bentuk video. Imej kereta dalam video ini dikaburkan, namun bunyi enjin 3.0 liter enam-silinder sebaris dengan suapan turbo pada Supra berkenaan jelas kedengaran.
Ya, bunyi enjin tersebut tidaklah seganas bunyi dihasilkan oleh enjin 2JZ-GTE dari model generasi JZA80 yang telah diubahsuai dengan ekzos, turbin dan wastegate lebih besar, namun ia tetap menghasilkan irama enam-silinder yang tajam seperti 2JZ. Jelas kedengaran juga, Toyota telah menala enjin berkenaan bagi menghasilkan bunyi letupan sebaik sahaja pedal pendikit dilepaskan.
Seperti yang diketahui, Supra A90 ini dihasilkan dengan platform dan enjin yang sama dengan BMW Z4 generasi terbaharu. Toyota dan jenama dari Jerman berkenaan telah bekerjasama untuk membina asas kedua-dua model ini sejak tahun 2012, walau bagaimanapun pembinaan akhir Z4 dan Supra dilakukan secara berasingan.
Menurut laporan sebelum ini, pasukan jurutera antara kedua-dua jenama tersebut tidak lagi berhubung antara satu sama lain sejak pertengahan 2014, jadi berkemungkinan besar karekter akhir kedua-dua kereta tersebut juga tidak sama antara satu sama lain.
Toyota turut mengesahkan bahawa Supra A90 akan dijana enjin petrol 3.0 liter enam-silinder dengan pengecas turbo twin-scroll, bersama sistem suntikan terus dan injap kawalan bervariasi, menghasilkan kuasa lebih dari 295 hp dan tork maksima 450 Nm. Digandingkan dengan kotak gear lapan-kelajuan automatik, Toyota mendakwa Supra generasi kelima ini mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa tidak sampai lima saat.
Walaupun Toyota sudah menyatakan yang Supra ini hanya akan hadir dengan kotak gear automatik sahaja, pembantu ketua jurutera untuk projek ini, Masayuki Kai menyatakan bahawa Supra dengan transmisi manual sebenarnya telah pun dihasilkan dan ia hanya dalam versi pemanduan sebelah kanan (RHD). Jelas Kai, sama ada versi berkenaan akan dijual atau pun tidak ia akan bergantung kepada maklum balas dari pasaran dan mungkin hanya untuk model JDM serta pasaran RHD lain.
Yang pasti, kuasa dari enjin Supra ini hanya akan dialirkan ke gandar belakang, lengkap dengan unit LSD kawalan elektronik aktif. Kereta ini direka dengan nisbah berat hadapan dan belakang 50:50 dan ia turut dibekalkan dengan sistem suspensi adaptif bervariasi (AVS). Perkara lain yang turut disahkan adalah ia bina di atas casis aluminium dan logam komposit, dengan pusat graviti yang lebih rendah dan jarak roda yang lebih pendek dari Toyota 86.
Source: Read Full Article