Toyota Supra A90 – imej bocor sepenuhnya!

Mula-mula imej muka, lepas itu bahagian belakang, kini gambar rasmi keseluruhan Toyota Supra A90 nampaknya telah bocor di internet! Sebelum ini, Toyota telah mengesahkan bahawa model ini hanya akan membuat kemunculan sulung globalnya di North American International Auto Show (NAIAS) 2019, berlangsung di Detroit 14 Januari ini.

Sekali lagi, gambar tersebut disiarkan dalam forum SupraMkV.com, dan kali ini dinyatakan bahawa ia diterima dalam email oleh pelanggan yang telah pun berada dalam senarai menunggu bagi memiliki Supra generasi baharu ini.

“Tak pasti sama ada gambar ini telah tersebar atau tidak tapi saya jumpanya dalam email dari Toyota Germany selepas mendaftarkan untuk senarai menunggu bagi Supra. Dalam email, Toyota Germany menulis ‘Terima kasih untuk menyertai senarai menunggu Toyota GR Supra,’” kata pelanggan berkenaan.

Jadi, email berkenaan turut mendedahkan bahawa Supra baharu ini akan dijual di Eropah dengan nama GR (sayap perlumbaan Toyota kini iaitu Gazoo Racing), digelar sebagai Toyota GR Supra.

Seperti yang diketahui, Supra generasi kelima ini dihasilkan Toyota menggunakan platform yang sama dengan BMW Z4 generasi terkini. Namun dilihat dari bahagian luar, kedua-dua kereta sport tersebut tampil dengan rupa yang berlainan tidak seperti kembar Toyota 86 dan Subaru BRZ. Z4 kekal dengan bentuk roadster menampilkan bumbung boleh buka, dan Supra juga kekal dengan gaya GT dua-pintu.

Dengan bahagian hadapan panjang, bumbung rendah landai kebelakang, tingkap sisi belakang kecil dan juga but yang pendek, Supra A90 masih Supra seperti model A40, A60, A70 dan juga A80 sebelum ini. Malah menerusi video teaser dari Toyota sebelum ini mendedahkan bunyi enjin enam-silinder sebaris, 3.0 liter turbo yang menjana model baharu ini menampilkan irama yang hampir seiras dengan enjin lagenda 2JZ-GTE pada Supra generasi keempat.

Pembinaan model Supra generasi baharu ini juga adalah berdasarkan model konsep Toyota FT-1 yang muncul di Detroit pada tahun 2014. Tetapi jika diteliti dengan lebih terperinci, terdapat berberapa perbezaan ketara antara kedua-dua kereta tersebut. Pertama adalah saiz lampu hadapannya – di mana untuk FT-1 ia direka lebih kecil dan tirus, berbanding model produksi yang mempunyai saiz lebih besar seakan memberikan kesinambungan dari rekaan lampu Supra generasi sebelumnya iaitu A80.

Model produksi ini juga menampilkan liang udara pada bawah ‘muncung F1’ pada muka kereta ini, bersama dua liang yang mengapit juga lebih besar, sementara liang udara menegak pada hujung kedua-dua sisi di reka lebih tirus berbanding FT-1. Turut kelihatan adalah rekaan ‘double-bubble‘ pada bumbung yang sememangnya seiras dengan FT-1.

Tidak seperti bahagian hadapan, belakang Supra generasi baharu ini menampilkan banyak perubahan berbanding model FT-1. Spoiler ‘ekor itik’ pada penutup bonet belakang masih lagi kekal, namun model produksi ini menampilkan lampu tirus yang jauh lebih besar dari versi konsep FT-1. Liang udara sisi masih ada, tetapi direka jauh lebih kecil.

Model konsep Toyota FT-1

Bampar belakang kereta ini masih menerima diffuser agresif seakan model konsepnya, tetapi direka dengan lebih rasional dengan lampu kabus ala-F1 pada bahagian tengah bersama dua tip ekzos oval pada kedua-dua sisi. Apa yang menarik, model ini masih mengekalkan rupa logo ‘Supra’ sama seperti sebelum ini, dan ia diletakkan pada tengah bampar.

Walaupun pembinaan Supra A90 dan Z4 dimulakan bersama pada tahun 2012, pasukan jurutera antara kedua-dua jenama tersebut dilaporkan tidak lagi berhubung antara satu sama lain sejak pertengahan 2014. Jadi boleh dijangkakan bahawa karekter akhir kedua-dua kereta tersebut juga tidak sama antara mereka.

Toyota turut mengesahkan bahawa Supra A90 akan dijana enjin petrol 3.0 liter enam-silinder dengan pengecas turbo twin-scroll, bersama sistem suntikan terus dan injap kawalan bervariasi, menghasilkan kuasa lebih dari 295 hp dan tork maksima 450 Nm. Digandingkan dengan kotak gear lapan-kelajuan automatik, Toyota mendakwa Supra generasi kelima ini mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa tidak sampai lima saat.

Walaupun Toyota sudah menyatakan yang Supra ini hanya akan hadir dengan kotak gear automatik sahaja, pembantu ketua jurutera untuk projek ini, Masayuki Kai menyatakan bahawa Supra dengan transmisi manual sebenarnya telah pun dihasilkan dan ia hanya dalam versi pemanduan sebelah kanan (RHD). Jelas Kai, sama ada versi berkenaan akan dijual atau pun tidak ia akan bergantung kepada maklum balas dari pasaran dan mungkin hanya untuk model JDM serta pasaran RHD lain.

Yang pasti, kuasa dari enjin Supra ini hanya akan dialirkan ke gandar belakang, lengkap dengan unit LSD kawalan elektronik aktif. Kereta ini direka dengan nisbah berat hadapan dan belakang 50:50 dan ia turut dibekalkan dengan sistem suspensi adaptif bervariasi (AVS). Perkara lain yang turut disahkan adalah ia bina di atas casis aluminium dan logam komposit, dengan pusat graviti yang lebih rendah dan jarak roda yang lebih pendek dari Toyota 86.

Ketua jurutera Tatsuya Tada pula menjelaskan bahawa model generasi baharu ini tidak bersifat seperti JZA80 yang dikenali sebagai ‘pemusnah supercar di laluan lurus’, tetapi ia akan dibina lebih fokus kepada dinamik pengendalian. Ia juga dikatakan bakal menampilkan nisbah berat hadapan dan belakang sempurna 50:50.

Beliau turut memberitahu Supra A90 juga akan hadir dengan varian asas menggunakan enjin empat silinder 2.0 liter juga diambil dari BMW. Tada menjelaskan bahawa model asas tersebut akan dibina lebih ringan dari versi tertinggi, secara tidak langsung menawarkan pengendalian yang lebih tajam kerana pembahagian nisbah berat yang lebih baik.

Ketua jurutera berkenaan turut mencadangkan bagi mereka yang sudahpun berkira-kira untuk menyumbat enjin 3.0 liter 2JZ dari Supra generasi keempat ke kerangka Supra baharu ini, pilihan versi asas tersebut adalah yang terbaik kerana ia lebih murah.

Source: Read Full Article