Toyota Supra A90 – imej muka bocor di internet

Pendedahan rasmi Toyota Supra A90 untuk peringkat global akan dibuat tidak lama lagi, iaitu di North American International Auto Show (NAIAS) 2019 yang akan berlangsung di Detroit, bulan hadapan. Tetapi, baru-baru ini muka Supra generasi baharu berkenaan telah bocor di internet, di siarkan di laman forum SupraMkV.com.

Menurut posting pada laman tersebut, gambar Supra A90 berkenaan diambil ketika kereta itu sedang dalam proses pengangkutan. Sekali imbas, muka Supra ini adalah seiras dengan model konsepnya iaitu Toyota FT-1, tetapi jika diteliti dengan lebih terperinci, terdapat berberapa perbezaan ketara antara kedua-dua kereta tersebut.

Pertama adalah saiz lampu hadapannya – di mana untuk FT-1 ia direka lebih kecil dan tirus, berbanding model produksi yang mempunyai saiz lebih besar seakan memberikan kesinambungan dari rekaan lampu Supra generasi sebelumnya iaitu A80. Model produksi ini juga menampilkan liang udara pada bawah ‘muncung F1’ pada muka kereta ini, bersama dua liang yang mengapit juga lebih besar, sementara liang udara menegak pada hujung kedua-dua sisi di reka lebih tirus berbanding FT-1. Turut kelihatan adalah rekaan ‘double-bubble‘ pada bumbung yang sememangnya seiras dengan FT-1.

Model konsep Toyota FT-1 (kiri) dan Toyota Supra A80 (kanan)

Supra generasi baharu dibina bersama oleh Toyota dan BMW dimana pengeluar dari Jerman berkenaan membangunkan roadster Z4 generasi terkini di atas platform kereta sport yang sama sejak 2012, walau bagaimanapun pembinaan akhir Z4 dan Supra dilakukan secara berasingan. Menurut laporan sebelum ini, pasukan jurutera antara kedua-dua jenama tersebut tidak lagi berhubung antara satu sama lain sejak pertengahan 2014, jadi berkemungkinan besar karekter akhir kedua-dua kereta tersebut juga tidak sama antara satu sama lain.

Toyota turut mengesahkan bahawa Supra A90 akan dijana enjin petrol 3.0 liter enam-silinder dengan pengecas turbo twin-scroll, bersama sistem suntikan terus dan injap kawalan bervariasi, menghasilkan kuasa lebih dari 295 hp dan tork maksima 450 Nm. Digandingkan dengan kotak gear lapan-kelajuan automatik, Toyota mendakwa Supra generasi kelima ini mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa tidak sampai lima saat.

Kuasa hanya akan dialirkan ke gandar belakang, yang lengkap dengan unit LSD kawalan elektronik aktif. Kereta ini direka dengan nisbah berat hadapan dan belakang 50:50 dan ia turut dibekalkan dengan sistem suspensi adaptif bervariasi (AVS). Perkara lain yang turut disahkan adalah ia bina dengan diatas casis aluminium dan logam komposit, pusat graviti yang lebih rendah dan jarak roda yang lebih pendek dari Toyota 86.

Source: Read Full Article