Nampaknya Toyota Vios generasi baharu semakin hampir untuk dilancarkan pada pasaran Malaysia – UMW Toyota telah pun menyiarkan video promo model berkenaan di laman Facebook mereka. Video berkenaan memaparkan elemen-elemen yang ada pada Vios baharu tersebut termasuk pada bahagian luaran dan dalaman.
Video ini turut menyatakan bahawa Vios baharu berkenaan “tidak sama seperti sebelum ini” dengan “gaya baharu, keselesaan memandu yang tinggi dan kabin yang lebih senyap”.
Vios varian tertinggi 1.5G diangkat sebagai ‘bintang utama’ dalam video ini, mengenakan warna baharu Dark Blue Metallic, bersama kit badan opsyenal dengan serlahan jalur merah pada bahagian bawah.
Model yang sama telah dipamerkan di Kuala Lumpur International Motor Show (KLIMS) 2018 baru-baru ini. Selain dari model G, ia turut menampilkan dua lagi varian lebih rendah sama seperti model generasi sebelum ini iaitu, 1.5E (AT) dan 1.5J. Kesemua varian ini dilengkapi dengan enjin 1.5L 2NR-FE empat-silinder sebaris, DOHC, 16-injap dengan Dual VVT-i yang menghasilkan kuasa 107 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 140 Nm pada takat 4,200 rpm. Ia digandingkan dengan kotak gear CVT bersama mod Sport Sequential Shiftmatic, menampilkan tujuh-kelajuan maya.
Untuk model asas J, Vios akan diberikan kelengkapan seperti unit lampu utama reflektor halogen biasa, rim 15-inci, sistem tanpa kunci, butang penghidup enjin, tempat duduk fabrik, mod pemanduan dengan pilihan Eco dan Sport, pendingin hawa automatik, penderia parkir belakang, unit audio CD/radio dengan sokongan Bluetooth bersama empat pembesar suara.
Bagi varian E pula, ia menerima ciri tambahan lain seperti lampu belakang LED, lampu kabus, cermin sisi boleh lipat automatik dengan lampu isyarat, cemrin depan akustik lebih baik, lipatan kerusi belakang 40:60 dengan perehat lengan, stereng multi-fungsi serta sistem infotianmen DVD-AVX dengan kamera 360-darjah.
Manakala varian tertinggi G, ia hadir dengan lampu utama projektor, rim 16-inci, filem penapis filem premium, kerusi, stereng dan tombol balutan kulit, padel penukar gear, kluster instrumen Optitron dengan paparan pelbagai info 4.2-inci, enam pembesar suara dan penderia parkir depan.
Bagi sistem keselamatan, model spesifikasi penuh akan dilengkapi dengan tujuh beg udara, sistem pemantau titik buta dengan amaran lintasan trafik belakang, sistem peninjau pandangan panoramik, kawalan bantuan mula mendaki (HAC) serta ciri perakam video digital hadapan (DVR) dengan ciri amaran perlanggaran depan (FCW) dan amaran pertukaran lorong (LDW).
Selain dari warna biru utama yang dipaparkan ini, Toyota Vios 2019 turut didatangkan dalam pilihan warna Red Metallic, Attitude Black, Silver Metallic dan Super White II. Harga bagi ketiga-tiga varian ini masih belum disahkan, tetapi anggarannya adalah sekitar RM77,200 bagi Vios 1.5J; RM81,200 bagi Vios 1.5E (AT) dan RM87,300 bagi Vios 1.5G (AT). Semua harga ini tidak termasuk insurans dan ia kini dibuka untuk tempahan.
Turut ditawarkan ialah kelengkapan pilihan termasuk sistem DVD-AVX bernilai RM2,160 bagi varian J, perakam video digital bernilai RM350, filem penapis haba premium berharga RM2,120 bagi varian E dan J serta RM2,800 bagi kit badan sporty.
Source: Read Full Article