Selain pengenalan model baru Scrambler 1200 di pameran EICMA 2018, Triumph juga ada satu lagi berita yang menambahkan keterujaan kepada jenama itu – sistem sambungan baru untuk panel instrumen motosikal. Ia akan mula dipasang pada model baru tahun hadapan yang mempunyai panel instrumen TFT, sementara model sekarang yang menggunakan panel instrumen TFT juga boleh menaik taraf kepada sistem baru ini.
Sebagai tambahan kepada fungsi yang sudah disediakan sekarang, sistem baru ini menawarkan tiga lagi kelebihan utama iaitu sistem kawalan kamera aksi GoPro, petunjuk sistem navigasi yang dikuasakan oleh Google melalui aplikasi ‘MyTriumph’ dan operasi sambungan muzik serta telefon.
Melalui sistem kawalan kamera GoPro yang disediakan, Triumph menjadi pengeluar pertama yang menggunakannya pada motosikal. Paparan ringkas yang menyatakan status kamera akan muncul pada panel instrumen tersebut dan penunggang boleh mengawal fungsi seperti memula dan menghentikan rakaman, mengambil gambar serta melihat tahap bateri. Ia boleh digunakan untuk GoPro Hero 5 ke atas.
Untuk sistem navigasi pula, Triumph menjadi pengeluar motosikal premium pertama yang melakukan kerjasama dengan Google dan sistem ini bekerjasama dengan aplikasi baru ‘MyTriumph’ yang perlu dimuat turun pada telefon pintar (tersedia untuk Android dan iOS). Apabila tujuan telah ditetapkan, petunjuk simpang ke simpang akan terpapar pada panel instrumen sehingga tiba di lokasi.
Bagi mendapatkan operasi muzik dan sambungan telefon pula, pemilik perlu memasang modul Bluetooth khas, dan selepas itu mereka boleh menggunakan suis kawalan yang terdapat pada pemegang untuk menjawab dan membuat panggilan, serta mengawal tahap bunyi muzik, manakala untuk pesanan ringkas pula, ia akan terpapar di skrin.
Seperti yang dinyatakan awal tadi, mereka yang sudah memiliki motosikal Triumph yang dilengkapi dengan panel instrumen TFT juga boleh menaik taraf kepada sistem ini apabila ia mula ditawarkan tahun hadapan, dan apa yang perlu dilakukan cuma pergi ke wakil pengedar rasmi Triumph untuk mendapatkan aksesori modul Bluetooth khas, dan menaik taraf perisian sistem panel instrumen tersebut.
Source: Read Full Article