Triumph Thruxton TFC – dikeluarkan terhad 750 unit

Tidak cukup dengan barisan model motosikal klasik moden yang ada sekarang, Triumph telah melancarkan satu lagi versi istimewa bagi Thruxton, dikenali sebagai Thruxton TFC. Huruf TFC yang digunakan itu membawa maksud Triumph Factory Custom, dan ia dihasilkan terus dari kilang Triumph di Hinckley, United Kingdom.

Apa yang jelas dapat dilihat pada Thruxton TFC ini adalah ia menggunakan warna hitam pada kebanyakan bahagian dan diserikan dengan jalur pinstripe warna emas. Walaubagaimanapun, ia tidak berhenti setakat di situ kerana motosikal ini turut dilengkapi dengan barangan gentian karbon iaitu pada fairing, penutup tempat duduk belakang, penghadang kaki serta mudguard – menyumbang kepada pengurangan berat sebanyak 10 kg.

Selain daripada itu, Thruxton TFC juga didatangkan terus dengan aksesori lain termasuk kemasan tepi tangki brushed aluminium, ekzos Vance & Hines serta tempat duduk balutan kulit dengan jahitan emas. Sudah tentu, sebagai sebuah model keluaran khas, motosikal ini mempunyai lencana nombor keluaran berhampiran bahagian tengah pemegang dan pembeli juga akan diberikan kit khas.



Kelengkapan lain Thruxton seperti set brek Brembo dan suspensi Ohlins masih dikekalkan untuk model ini, tetapi enjin dua silinder selari 1,200 cc padanya telah diberikan peningkatan kuasa sebanyak 10 hp, menjadi 106 hp. Transmisi masih lagi sama iaitu unit enam kelajuan.

Menurut Triumph, Thruxton TFC hanya akan dikeluarkan sebanyak 750 unit dan selepas habis, ia tidak akan dikeluarkan lagi. Tempahan kini sudah dibuka pada harga 21,500 USD (RM88,868).

Source: Read Full Article