Tuah beli Ford Ranger, menang pula Ranger Raptor

Sime Darby Auto ConneXion (SDAC), pengedar rasmi untuk jenama Ford di Malaysia, telah pun mengumumkan pemenang bagi peraduan “Beli Ranger baharu, menangi Ranger Raptor”. Pembeli bertuah, Shahrul Iman Sulaiman, dari Pahang, telah pun dinobatkan sebagai pemenang bertuah dengan berjaya membawa pulang Ranger Raptor idaman ramai ini.

Dia yang sebelum ini telah membeli Ford Ranger XLT Plus, berkata, “Memenangi Ranger Raptor memang tidak diduga dan pastinya ia kemenangan paling besar dalam hidup saya. Terima kasih Sime Darby Auto ConneXion dan Ford. Saya akan pulang beraya kali ini dengan penuh gaya.”

Peraduan “Beli Ranger Baharu, menangi Ranger Raptor” telah berlangsung dari 25 Oktober 2018 sehingga 31 Januari 2019 yang lalu bersempena dengan pelancaran Ford Ranger baharu. Melalui peraduan tersebut, para pelanggan yang membeli mana-mana varian Ford Ranger berpeluang untuk memenangi sebuah Ranger Raptor.


Ranger Raptor yang ditawarkan pada harga RM199,888, dijanakan oleh enjin Panther 2.0 liter EcoBlue bi-turbo empat-silinder diesel yang menghasilkan sebanyak 213 PS dan 500 Nm tork. Kuasa disalurkan menerusi transmisi automatik 10-kelajuan 10R80 Getrag untuk memberikan maklum balas yang lebih baik.

Manakala Ranger XLT+ yang dibeli oleh Shahrul Iman pula merupakan satu-satunya varian yang dijanakan oleh enjin 2.0L EcoBlue, selain Raptor. Walau bagaimana pun dengan Si-Turbo tunggal, ia hanya mampu menghamburkan kuasa sehingga 180 PS dan tork 420 Nm, juga dipadankan transmisi auto 10-kelajuan.

Source: Read Full Article