Akhirnya dapat juga kami mencuba Honda Vario 150 ini. Bukannya apa, ia sudah dilancarkan sejak bulan Ogos lagi tapi cuma kini, barulah Boon Siew Honda dapat menyediakan unit tunggang uji untuk kami pinjam. Kami pasti, orang ramai juga ingin tahu maklum balas berkenaan skuter yang dikatakan boleh menjadi pencabar kepada Yamaha NVX ini.
Biar kami katakan terus di awal artikel ini. Pada pendapat kami, Vario ini bukanlah pesaing terus bagi NVX mahupun NMax. Tetapi, ia mempunyai karekter yang tersendiri, dan jika anda tertarik dengan ciri-ciri itu, barulah boleh membuat keputusan membelinya.
Pertama sekali, mari kita tengok kepada dimensi terlebih dahulu. Sekali pandang pun sebenarnya anda boleh nampak bahawa Vario ini lebih kecil daripada NVX ataupun NMax. Ini bukan sekadar mainan ilusi tapi memang terbukti pada catatan dimensi sebenarnya.
Untuk panjang keseluruhan motosikal, Vario kurang 71 mm, lebar kurang 21 mm, tinggi kurang 63 mm dan jarak roda kurang 70 mm berbanding NVX. Jika mencari perbandingan bentuk yang lebih bersesuaian daripada barisan model yang ditawarkan oleh Yamaha, Vario ini lebih hampir kepada Avantiz kerana bezanya cuma 20 mm (Avantiz 1260 mm).
Dengan saiz seperti ini, Vario menjadikan pengendalian di dalam trafik yang sesak lebih mudah. Anda tidak akan terbeban untuk menggunakan ruang di antara kereta ataupun membuat pusingan yang tajam. Tapi bagi penulis kami ini, ada beberapa perkara yang sedikit mengganggu.
Beliau mempunyai kaki yang panjang (berketinggian sekitar 180 sm), dan disebabkan bahagian pemegang agak rendah, ia terlalu dekat dengan kaki apabila pemegang mahu dipusingkan dalam sudut yang banyak seterusnya menjadikan keadaan sedikit kekok jika tidak mahu menurunkan kaki.
Kemudiannya, lutut pula terlalu dekat dengan panel tajam yang juga menempatkan ruang simpanan kecil di belakangnya. Jika membrek kuat dan tidak bersedia dengan menahan tapak kaki serta menolak badan ke belakang, lutut beliau pasti terkena pada bahagian itu. Risau juga kalau dah selalu terkena, nanti jadi lemah lutut pula.
Untuk aspek rekaan, ia adalah sesuatu yang subjektif, dan bergantung kepada cita rasa seseorang. Pada pendapat kami, kalau mahu mengatakan Vario ini adalah sporty, mungkin ya, tapi cuma pada bahagian hadapan, terutamanya lampu yang berbentuk tajam itu.
Ia adalah unit LED sepenuhnya, dan mampu memberikan pencahayaan yang baik pada waktu malam. Bahagian atas yang berbentuk seperti V itu adalah lampu siang, manakala di bawah adalah unit lampu utama dan lampu tinggi. Di belakang juga lampunya adalah LED, tetapi bentuknya lebih konvensional dan cuma kelihatan seperti lampu Wave.
Satu lagi perkara yang mungkin anda boleh perasan adalah penghadang lumpur depan Vario kelihatan seperti tergantung, dengan banyak ruang kosong di antaranya dengan tayar, dan begitu juga dengan bahagian belakang. Berkemungkinan, ini adalah disebabkan suspensi yang lembut, dan jarak gerak suspensi yang banyak.
Kami perasan perkara ini setelah meneliti semula gambar yang telah diambil. Jika dibiarkan begitu sahaja, jaraknya memang banyak, tapi apabila sudah dinaiki oleh penunggang, barulah ia nampak lebih semenggah. Jadi, pepatah yang selalu disebut, “kalau anda tidak menoleh semula kenderaan lepas parkir bermakna anda telah membeli kenderaan yang salah” tidak boleh dipakai untuk Vario ini. Sebabnya, bila diparkir, bentuk keseluruhannya mungkin seperti ada yang tidak kena dan membuatkan anda tidak mahu menoleh, tetapi apabila mula dinaiki, ia akan kelihatan lebih elok pada pandangan orang lain.
Selain daripada beberapa perkara mengganggu yang telah disebutkan tadi, kami tiada masalah dengan Vario ini. Malah ada di antaranya kami berasa cukup senang dengannya. Ini termasuklah bahagian meter. Ia adalah unit LCD digital hitam putih yang bersepadu baik dengan panel atas, berbentuk kompak dan mempunyai informasi yang lengkap termasuklah penggunaan bahan api semasa. Dengannya, anda boleh tahu sama ada kadar pulasan pendikit yang dibuat dapat memberikan penggunaan bahan api yang kuat atau jimat.
Di bawah bahagian pemegang, ada dua poket untuk meletakkan barang. Disebabkan poket yang di sebelah kiri adalah lebih besar dan dalam, kami boleh menggunakannya untuk pelbagai barang seperti botol air, tetapi yang di sebelah kiri itu kami tidak pasti kegunaannya kerana ia cetek dan jika diletakkan sesuatu waktu bergerak, pastinya kurang selamat.
Di bawah tempat duduk, ruangnya hanya cukup untuk helmet muka separuh sahaja. Ruang ini cuma berada di bawah tempat duduk utama penunggang dan bahagian belakang tidak dapat digunakan untuk ruang barangan kerana terdapat tangki minyak (ruang bawah tempat duduk NVX lebih luas kerana tangki minyak di hadapan).
Sebagai sebuah skuter yang diletakkan tinggi dalam kelasnya, Vario turut dilengkapi dengan sistem kunci pintar. Dengannya anda tidak perlu mengeluarkan unit kunci/penggera dari dalam poket ataupun beg, dan motosikal boleh dihidupkan apabila anda sudah rapat.
Walaubagaimanapun, Honda mempunyai cara yang tersendiri untuk sistem ini. Apabila sudah dekat dengan motosikal, anda sebenarnya tidak boleh terus memusing tombol untuk mengaktifkan sistem elektrik motosikal, sebaliknya perlu menekan butang pemula enjin, serta menarik tuil brek bersama dan barulah ada bunyi yang akan keluar. Selepas ia berbunyi, barulah anda boleh memusing tombol tersebut ke bahagian ON, dan seterusnya menekan sekali lagi butang pemula enjin.
Walaupun sudah seminggu menggunakan motosikal ini, kami masih belum dapat membiasakan diri dengan sistem ini dan ada ketika di depan kedai makan waktu ramai yang sedang memerhati, kami masih terkial-kial untuk memulakan enjin dan menampakkan keadaan sebenar yang ia bukanlah milik kami.
Kemudiannya untuk bahagian brek, Vario mempunyai beberapa keistimewaan. Pertamanya, ia mempunyai ciri brek parkir, iaitu pada tuil brek sebelah kiri, terdapat satu pengunci yang boleh ditarik, dan ia berguna untuk memastikan kenderaan tidak bergerak waktu berhenti dan anda boleh melepaskan tangan dari pemegang (sudah semakin banyak model yang dilengkapi ciri ini termasuk NVX).
Tetapan cakera di hadapan dan dram di belakang menghasilkan kuasa yang mencukupi pada kebanyakan masa tetapi ia tidak dilengkapi dengan sistem ABS. Untuk menggantikannya, Honda menggunakan ciri Combi Brake System (CBS), di mana apabila tuil brek belakang ditarik kuat, ia juga akan menarik sedikit tuil brek hadapan secara sendiri.
Sudah tentu, ia tidak boleh menggantikan ABS yang lebih cekap tetapi masih berfungsi baik kerana apabila kami cuba untuk mengunci tayar belakang supaya motosikal boleh menggelungsur atas jalan bersimen, ia tidak menjadi. Jika atas jalan bertar, lagilah ia mencengkam kerana permukaan yang kasar.
Tidak seperti RS150R yang mempunyai sistem DOHC, Vario ini pula masih menggunakan SOHC pada unit enjin suntikan bahan api satu silinder 149.3 cc bersama sistem penyejukan cecair. Atas kertas, enjin ini mampu menghasilkan kuasa 13.1 PS pada 8,500 rpm dan 13.4 Nm tork pada 5,000 rpm. Jika mahu membandingkannya dengan kuasa NVX, ia tidak begitu jauh dengan Vario mempunyai kuasa kurang 1.7 hp dan 0.4 Nm.
Walaupun begitu, apabila ditunggang, kami merasakan kelebihannya terletak pada Vario. Enjin ini lebih lancar, rasa ringan dan pecutan juga dirasakan lebih pantas. Awalnya kami berpendapat mungkin ini perasaan sahaja, lagipun rujukan rasa itu hanya diambil berdasarkan daripada pengalaman menunggang NVX sebelum ini dan bukannya dengan membawanya bergilir-gilir.
Tapi, kami mahu menyokong pernyataan ini dengan kata-kata yang diberi sendiri oleh pemilik NVX waktu berborak sambil membeli burger di tepi jalan. Pada mulanya kami tidak memberitahu pendapat kami dan meminta maklum balas beliau terlebih dahulu, dan selepas itu ternyata, apa yang beliau katakan juga sama. Vario ini memecut lebih cepat, lebih lancar dan terasa lebih ringan.
Selain rasa lebih lancar yang sememangnya bergantung kepada enjin itu sendiri, rasa cepat dan ringan itu pula kami berpendapat adalah hasil daripada berat Vario ini yang sememangnya lebih ringan berbanding NVX. Dengan semua minyak enjin dan bahan api penuh pada motosikal, Vario mencatat berat 112kg manakala NVX, tanpa minyak dan bahan api (kering) sudah mencatat 118 kg.
Dengan berat yang kurang ini, pastinya Vario dapat memberikan penggunaan bahan api yang lebih baik. Dari pengalaman kami, bergantung kepada cara tunggangan, ia boleh menjadi antara 140 km (menikmati kuasa penuh sepanjang masa) hinggalah 180 km (cuba menjimatkan bahan api tapi masih tidak terlalu perlahan sehingga mengganggu trafik). Tangki bahan api Vario juga lebih besar, iaitu 5.5 liter, berbanding 4.6 liter pada NVX.
Untuk pengendalian, walaupun Vario mempunyai suspensi yang lembut dan tayar tidak selebar NVX (saiz masih sama iaitu 14 inci) ia masih memberikan keyakinan untuk berhadapan dengan selekoh. Tapi apa yang lebih penting, ia juga selesa dan berpadanan dengan karekter sebuah skuter yang dicipta untuk tunggangan santai.
Waktu dilancarkan dulu, harga Vario ditetapkan pada RM7,199 (untuk model biasa) tidak termasuk insurans, sekaligus menjadikan ia pilihan lebih menarik bagi mereka yang mempunyai peruntukan lebih rendah. Dengan harga sebegitu, anda masih mendapat sebuah skuter yang moden, tetapi ia mempunyai karekter tersendiri seperti yang disebutkan di atas dan tidak boleh menjadi pesaing terus kepada NVX. Jika anda senang dengannya, pergilah masuk meminang.
Source: Read Full Article