TUNGGANG UJI: Yamaha YZF-R15 – untuk ‘kaki roket’

Untuk membawa sesebuah model motosikal baru ke pasaran bukanlah mudah. Pengedar perlu melakukan kajian rapi dan memastikan model tersebut dapat diterima ramai demi memastikan pelaburan yang dibuat dapat memberikan pulangan.

Kemudiannya, negara kita juga mempunyai saiz pasaran yang tidak begitu besar jika dibandingkan dengan negara jiran seperti Indonesia dan Thailand. Sebab itulah kita dapat melihat model yang ditawarkan di sana lebih pelbagai dan menarik.

Model baru Yamaha YZF-R15 yang kami dapat cuba ini sebenarnya adalah generasi yang ketiga, dan pasaran kita tidak menerima generasi terdahulu yang pertama dan kedua. Mungkin sekarang barulah Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) dapat melihat potensi model sports kapasiti rendah di Malaysia dan ia dibawa untuk memenuhi keperluan pengguna dalam segmen itu dengan harga jualan RM11,988 tidak termasuk insurans.

Tidak dinafikan, R15 ini adalah sebuah motosikal yang nampak menarik. Ia diterapkan dengan konsep rekaan yang terdapat pada model sports 1,000 cc R1 dan R6, dan segalanya nampak padan dari mana-mana sudut sekali pun. Cumanya, ia lebih kurus dan kecil.

Anda boleh nampak pengaruh rekaan ini antaranya pada fairing hadapan, siap dengan corong udara di tengah (sebenarnya tertutup pada R15 ini), tangki bersirip serta bahagian panel tempat duduk belakang yang mempunyai bahagian terbuka.



Pada pendapat saya, Yamaha bukan sahaja dapat menghasilkan sebuah motosikal yang cantik dengan gaya ini, tetapi ia juga berfungsi baik untuk memberikan ergonomik yang berkesan untuk membantu tunggangan sporty pada R15.

Sebelum diterangkan kenapa, biar saya beritahu terlebih dahulu, jika ada yang mahu menunggang R15 ini setiap hari sebagai pengangkutan utama, ia mungkin tidak selesa untuk kebanyakan orang.

Bahagian utama yang menjejaskan keselesaan ini adalah pemegangnya – ia terletak begitu rendah. Malah sepanjang yang saya ingat, ia adalah lebih rendah daripada R25 dan kebanyakan motosikal sports 250 cc yang lain seperti Kawasaki Ninja 250 dan Honda CBR250.

Bagi yang tidak biasa, kedudukan pemegang seperti ini akan memberi kesan seperti sakit pinggang, leher atau pergelangan tangan apabila kerap berhadapan dengan trafik yang tidak begitu lancar.

Pengalaman saya menggunakan motosikal ini selama seminggu, apabila mahu melegakan sedikit badan daripada kedudukan tunggangan yang agresif ini, saya akan meletakkan siku kiri di atas tangki apabila keadaan selamat.

Tapi, itupun hanya boleh dilakukan sekejap sahaja kerana bahagian atas tangki tersebut bukannya rata dan mempunyai dua bonggolan kecil yang kemudiannya akan menyakitkan pula siku anda apabila tekanan diletakkan di situ.

Anda tanya kenapa begini? Yamaha mahu membangunkan R15 dengan ciri sports sebenar. Jika anda mahu tahu bagaimana rasa kedudukan menunggang motosikal sports lain yang berkapasiti lebih tinggi, beginilah ia. Sama sahaja, ia tidak selesa untuk tunggangan santai, tapi apabila badan anda juga diserap semangat agresif tunggangan sports, barulah anda akan mula menghargainya.

Sebab itulah saya meletakkan tajuk di atas “untuk kaki roket”. Kalau anda jenis yang suka menunduk ke meter apabila masuk ke lebuh raya, ataupun mahu belajar cara tunggangan sebenar sebuah motosikal sports, R15 ini adalah sebuah motosikal yang sesuai.

Keseluruhan bentuk motosikal ini dijadikan untuk tujuan itu. Lihat kepada tangkinya. Semua lekuk itu ada fungsinya – lekuk di hadapan untuk anda meletakkan dagu helmet apabila menunduk dan mahu mendapatkan aerodinamik terbaik, manakala tepinya pula cukup selesa untuk dikepit oleh paha dan siku apabila menunduk dan duduk dalam kedudukan senget untuk mengambil selekoh.

Tempat duduknya juga memainkan peranan. Saya tiada masalah dengan keselesaan tempat duduk ini kerana span yang digunakan cukup empuk untuk tunggangan seharian, dan ia juga cukup luas untuk anda melaras kedudukan punggung – lebih ke belakang apabila menunduk di jalan lurus dan di tengah atau sisi untuk mengambil selekoh.

Enjin yang menggerakkan R15 ini sebenarnya adalah sama seperti skuter NVX, iaitu unit satu silinder empat strok SOHC 155 cc, dengan teknologi pemasaan injap VVA tetapi ia telah ditala untuk menjadi lebih sporty. Nisbah mampatan pada enjin R15 adalah lebih tinggi, sekaligus juga menjadikan kuasa dan torknya lebih tinggi, iaitu 19 hp pada 10,000 rpm dan 14.7 Nm pada 8,500 rpm. Sistem VVA pula aktif pada kadar 7,000 rpm.



Diterjemahkan kepada rasa waktu menunggang, ia menghasilkan kuasa cukup memuaskan untuk kapasiti enjin sebegini. Sudah tentu, ia tidak dapat menandingi tujahan yang dapat dihasilkan enjin dua strok seperti Kawasaki KRR150 yang menjadi pilihan ramai dalam segmen sama sebelum ini, tetapi masih dirasakan lebih pantas berbanding Y15 atau NVX dalam keadaan standard.

Kelajuan paling tinggi yang pernah saya capai dengan R15 ini adalah sekitar 160 km/j, dan itupun memerlukan sedikit masa untuk dicapai. Dalam empat gear pertama anda akan dapat merasakan pecutan R15 ini agak pantas, tapi apabila masuk ke gear lima, anda akan mula kerap memandang ke bahagian meter untuk menanti kadar rpm sampai ke tahap maksimum sebelum masuk ke gear enam.

Enjin ini boleh dikerah sehingga kadar hampir 12,000 rpm sebelum cut off, dan memang itulah yang saya lakukan kebanyakan masa kerana barulah semangat sport motosikal ini akan menyerlah. Kita semua tahu, memaksa enjin ke tahap maksimum sepanjang masa bukanlah keadaan yang paling ideal, tapi rasa bersalah saya ibarat hilang kerana enjin ini masih kekal lancar dan bunyi dari enjin tidak terlalu kuat.

Tetapan transmisi pada R15 ini juga boleh dipuji. Tidak sekali pun saya mengalami masalah untuk menukar gear dan ia dirasakan lebih baik berbanding kapcai biasa yang menggunakan klac dan mungkin juga beberapa model 250 cc lain. Anda boleh merasakan maklum balas yang baik di pedal apabila gear ditukar, dan ia tidak terasa kosong atau longgar.

Mungkin ini adalah kelebihan yang didapati daripada penggunaan klac jenis slip and assist, tapi apa yang pasti, saya dapati tarikan tuil klac itu juga cukup ringan sehingga boleh ditarik dengan mudah walaupun menggunakan satu jari. Bagi yang mahu menggunakan motosikal ini setiap hari dan berhadapan dengan trafik tidak menentu, ia semestinya satu ciri yang sangat dihargai.

Untuk bahagian suspensi, tiada apa yang dapat dimegahkan melalui tetapan fork USD di hadapan dan monoshock di belakang motosikal ini. Ia bertindak baik dalam kebanyakan keadaan dan bukanlah bahagian utama yang perlu ditukar sebaik sahaja motosikal keluar dari kedai.

Begitu juga dengan sistem brek. Cakera 282 mm berserta angkup dua piston bersama cakera dengan angkup satu piston di belakang dapat memberikan hentian yang mencukupi dengan kuasa yang mampu dihasilkan, cuma dalam aspek keselamatan, ia sedikit kekurangan kerana tidak mempunyai sistem ABS.

Yang merisaukan saya sepanjang membawa motosikal ini cuma tayar asal IRC Road Winner padanya. Memang ini adalah sebuah motosikal jenis sport yang direka untuk menyerang selekoh, tapi jangan pula anda terus membelasahnya sehingga mahu menggeser segala benda apabila di selekoh sebaik keluar daripada kedai. Sekurang-kurangnya, tukarlah kepada tayar yang lebih baik terlebih dahulu dan dengan saiz 100/80 di hadapan dan 140/70 di belakang, dengan padanan rim 17 inci, pastinya pilihan adalah banyak.

Pada bahagian kokpit, R15 ini menggunakan meter digital yang sama seperti R25. Ia bukan sekadar dapat memaparkan pelbagai maklumat biasa seperti laju, kadar rpm, penggunaan bahan api, tahap minyak dan kedudukan gear dengan jelas, malah juga menawarkan tetapan yang boleh diubah mengikut kegemaran pengguna.

Sebagai contoh, tulisan “Hi buddy” yang terpapar apabila kunci mula dihidupkan boleh diubah kepada apa sahaja tulisan yang dimahukan (dalam panjang yang sama) manakala lampu penanda waktu menukar gear (shift light) pula boleh dilaras untuk menyala pada waktu bila, berapa terang dan bagaimana ia berkelip. Tapi pada pendapat saya, lampu ini akan jadi lebih efektif sekiranya ia menggunakan warna lain, dan bukannya putih seperti asal.

Berkenaan penggunaan bahan api, R15 ini didatangkan dengan tangki 11 liter, dan dengan cara tunggangan saya yang hampir sepanjang masa pendikitnya dipulas habis, ia dapat bertahan sehingga 240 km. Kalau dibawa dengan lebih santai dan tenang, pasti jaraknya dapat pergi lebih jauh.

Sedikit lagi berkenaan kemudahan, tempat duduk utama R15 ini juga boleh dibuka untuk anda menyangkut helmet apabila mahu meninggalkan motosikal dan ia juga cuma mempunyai berat 137 kg, menjadikannya lincah dan mudah dikendali. Cuma sebagai sebuah motosikal yang mempunyai pemegang rendah dan dekat dengan tangki, anda harus tahu bahawa sudut pusingan pemegang tidak terlalu besar dan sedikit terhad.

Terima kasih kepada HLYM, saya menjadi antara media terawal yang dapat menguji motosikal ini. Dalam masa itu juga, saya sudah nampak beberapa kali R15 ini di atas jalan dan ia seakan memberikan petanda awal penerimaan yang baik dalam pasaran.

Bagi saya, ia juga adalah pilihan yang lebih baik untuk mereka yang suka mengubah suai motosikal. Daripada anda membeli Y15 dan menghabiskan ribuan ringgit untuk modifikasi, lebih baik anda dapatkan motosikal ini kerana ia bukan sahaja mempunyai kelengkapan yang lebih baik tetapi juga dapat melatih anda dengan cara tunggangan motosikal sports yang betul kerana ia mempunyai bentuk sports sebenar.

Saya bayangkan, R15 ini kalau dibawa masuk ke dalam litar-litar kecil seperti litar go-kart Sepang, Tangkak, MIMC Melaka ataupun USJ Elite, pasti cukup menyeronokkan. Tukar sahaja tayar asalnya kepada yang lebih baik, anda sudah dapat menyertai sesi dalam litar dengan sebuah motosikal yang berkemampuan dalam segmennya.

Source: Read Full Article