Bulan lalu, jenama berprestasi tinggi di bawah payung Zhejiang Geely, Polestar, telah mendedahkan bahawa model pertama dengan namanya sendiri setelah dipisahkan dari Volvo iaitu Polestar 1 telah pun menjalani ujian pelanggaran. Kali ini, satu lagi video disiarkan dan jentera hibrid GT-Coupe berkenaan telah lengkap menjalani ujian dinamik pemanduan.
Menerusi video ini, kereta tersebut dilihat menjalani pelbagai ujian pemanduan seperti kalibrasi sistem torque vectoring, ujian tindak balas stereng dan juga cengkaman, ujian halaju tinggi yang dibuat pada litar dengan kecondongan 45 darjah pada kelajuan 220 km/j dan ujian pengendalian pada kelajuan 130 km/j. Menurut Polestar, kesemua ujian ini telah lengkap dilakukan pada litar ujian mereka di Sweden pada suhu 6 darjah selsius.
“Setiap kali anda memandu Polestar 1, anda seharusnya terus dapat merasakan bahawa anda dalam kawalan dan kereta ini bersedia dengan input dari anda, tidak kira apa yang anda mahu lakukan. Ini merupakan GT yang perlu mudah untuk dipandu serta selesa untuk digunakan setiap hari dengan janakuasa hibrid yang lancar dan senyap – tetapi juga bersedia untuk memberikan prestasi 600 hp dan 1,000 Nm yang mengujakan setiap kali pemandu mahukannya,” kata ketua pemandu uji Polestar,” Joakim Rydholm.
Dibina berasaskan dari Scalable Platform Architecture (SPA), unit janakuasa plug-in hybrid pada Polestar 1 ini turut menyerupai sistem T8 Twin Engine pada model-model Volvo – dengan enjin petrol suapan turbo dan supercharger memacu roda hadapan, dan dua buah motor elektrik bersama set gear planetari bebas pada kedua-duanya – dapat dikawal menerusi sistem agihan Torque Vectoring.
Gabungan kesemua keseluruhan unit janakuasa tersebut akan menghasilkan 600 hp dan tork maksima gergasi 1,000 Nm. Walau bagaimanapun, 50% dari platform SPA tersebut telah direka semula dan ia hanya unik untuk Polestar 1. Sebahagian besar badan kereta ini pula dibina dengan material polimer diperkukuh gentian karbon (carbon-fibre reinforced plastic atau CFRP) membolehkan ia mencapai pengurangan berat sehingga 230 kg.
Untuk fasa prototaip seterusnya yang akan bermula awal 2019, ujian yang dilakukan akan turut melibatkan kereta pertama yang dibina Pusat Produksi Polestar yang akan siap tidak lama lagi, terletak di Chengdu, China. Ia akan menjadi prototaip terakhir sebelum model pra-produksi dibina dengan spesifikasi dan standard kualiti terakhir. Ia akan mula bersedia untuk diproduksi pada pertengahan tahun hadapan.
Related Cars for Sale on
Source: Read Full Article