Jun lalu, Porsche telah mengumumkan bahawa kereta sport elektrik sepenuhnya Mission-E akan dijelmakan sebagai model produksi yang dikenali sebagai Taycan. Macam biasa, setiap kali Porsche memperkenalkan kereta sport yang bukan dengan kod nombor seperti 911, pasti agak sukar untuk menyebut namanya dengan betulkan?
Jadi untuk model baharu ini, Porsche sudah siap dengan video untuk mengajar anda bagaimana untuk menyebut namanya. Saya sendiri sebelum ini memanggil kereta berkenaan sebagai ‘Tei-Ken’, namun yang sebenarnya ia perlu disebut sebagai ‘Tai-Kan’. Jika Macan bermaksud harimau dalam bahasa Jawa, Taycan ini pula bermaksud “kuda yang bersemangat” dalam dielek Eurasia, merujuk kepada ‘prancing horse‘ pada logo Porsche itu sendiri.
Porsche telahpun mendedahkan perincian awal berkenaan unit janakuasa untuk model elektrik penuh mereka ini. Taycan akan dijana oleh dua motor elektrik dengan sistem yang digelar permanently excited synchronous (PSM), menghasilkan kuasa keseluruhan sehingga 600 PS atau 590 hp (440 kW).
Ia akan menerima suapan dari bateri 800 volt, yang mampu membekalkan kuasa untuk perjalanan lebih dari 500 km dengan sekali cas penuh. Gandingan kesemua sistem ini akan membolehkan Porsche Taycan memecut dari 0-100 km/j dalam masa 3.5 saat, dan mencapai kelajuan 200 km/j dalam masa hanya 12 saat.
Source: Read Full Article