Secara jujur, saya sendiri sudah bosan dengan pelbagai video-video drift mahupun video gymkhana yang dihasilkan oleh Ken Block. Video-video tersebut boleh dikatakan mempamerkan aksi yang hampir sama tanpa apa-apa faktor ‘wow’ yang baharu. Namun, video baru yang dibuat oleh Red Bull ini agak segar, membuatkan saya teruja semula untuk menonton bahan-bahan begini.
Ok, video ini bukan sahaja dibintangi oleh drifter rotary New Zealand, ‘Mad Mike’ Whiddet dengan Mazda RX8 ‘Bad Bull’ miliknya, malah aksi tandem drift kali ini disertai oleh trak sembilan-tan Rali Dakar Kamaz, dipandu juara Rali Dakar 2018 Eduard Nikolaev. Penggambaran dijalankan kilang Kamaz Kirov, yang terletak di negara asalnya, Rusia.
Umum mengetahui, Bad Bull Mad Mike dijana oleh enjin rotary 20B tiga rotor, disuap pengecas turbo Honeywell Garret GTX4508R. Walaupun hanya ditala dengan tekanan boost 1.3 bar, enjin tersebut sudahpun mampu menjana lebih dari 800 hp pada gandar belakang.
Manakala untuk trak Kamaz, ia adalah jentera Rally-Raid untuk pasukan tersebut yang bertanding dalam Rali Dakar dengan berat lapan kali ganda berbanding Mazda RX8 tersebut, dijana enjin V8 turbodiesel 16.2 liter menghasilkan sekitar 1,000 hp dan tork melebihi 4,000 Nm!
Walaupun dengan tork gergasi, bukan mudah untuk melakukan aksi drift dengan trak yang menggunakan tayar sama tinggi dengan kereta milik Mad Mike berkenaan. Namun dengan kemahiran pemanduan Eduard, trak itu kelihatan tiada masalah untuk melakukan drift di atas permukaan tar dengan sudut yang cukup besar.
Mad Mike juga tidak kurang hebatnya kerana berjaya mengikut dengan jarak yang cukup dekat. Jika dalam pertandingan drift biasa, aksi tandem ini perlu dilakukan serapat ‘pintu-ke-pintu’, dalam video ini Mad Mike perlu lebih berani kerana disebelahnya bukan lagi pintu jentera lawan, sebaliknya tayar yang bersaiz gergasi.
Kita mungkin agak asing dengan trak jenama Kamaz berkenaan. Untuk pengetahuan anda, Kamaz Master Team telah bertanding dalam Rali Dakar sejak sekian lama, malah dari tahun 1996 hingga 2018, pasukan dan jenama Rusia tersebut telah bergelar juara Rali Dakar sebanyak 15-kali!
Source: Read Full Article