Volkswagen buka pusat 3S pertama Sabah di Inanam

Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) telah pun melancarkan pusat 3S pertama di Sabah yang terletak di daerah Inanam. Dikendalikan oleh Kota Bumi Sdn Bhd, pusat 3S Volkswagen Kota Bumi bermatlamat untuk memberi khidmat kepada pemilik kenderaan Volkswagen di Inanam, Menggatal, Lintas, Kolombong, Kota Kinabalu, Tuaran dan Sepanggar. Ia juga merupakan satu-satunya pengedar sah Volkswagen di Sabah. Sekali gus menjadi pusat 3S Volkswagen ke-18 di seluruh negara.

Ia menyediakan khidmat jualan dan selepas jualan, termasuklah diagnosis, pembaikan dan penyelenggaraan, dengan bangunan setinggi tiga tingkat yang turut menempatkan bilik pameran yang mampu mempamerkan dua unit kereta. Manakala kawasan selepas jualan mempunyai empat ruang servis yang dikendalikan oleh tiga orang kakitangan selepas jualan berpengalaman serta boleh menyelenggara sehingga 16 buah kereta sehari.

Perkhidmatan lain yang ditawarkan termasuklah insurans, tukar beli kenderaan, memperbaharui cukai jalan, pembaikan enjin dan bantuan tepi jalan 24 jam. Bagi memberi perkhidmatan tambahan, pusat servis itu juga menyediakan servis ambil dan hantar (bergantung kepada permintaan) serta membasuh kereta secara percuma.


Ketua Pengedar Kota Bumi Sdn. Bhd., Carlwin Yee berkata mereka komited untuk memastikan pengalaman pemilikan yang positif dalam kalangan pelanggan Volkswagen di Sabah.

“Kami bermula sebagai sebuah pusat servis 2S. Memandangkan permintaan ke atas kenderaan Volkswagen semakin meningkat, kami ingin merebut peluang itu dengan mengembang dan membina jenama Volkswagen di rantau ini. Kami juga telah berpindah ke lokasi baru yang lebih strategik untuk memenuhi keperluan ini dan memberi perkhidmatan lebih baik kepada para pelanggan sedia ada kami.”

Sementara Pengarah Urusan VPCM, Erik Winter pula berkata, “Memastikan pengalaman pemilikan yang menyeronokkan menjadi keutamaan kami dan kunci kepada perkara ini adalah kepuasan pelanggan. Kami percaya ia hanya boleh dicapai menerusi sokongan padu daripada rakan-rakan pengedar. Jadi, saya ingin mengucapkan tahniah kepada Kota Bumi atas komitmen mereka membina jenama Volkswagen di Sabah.”

Pusat 3S Volkswagen Kota Bumi beroperasi dari Isnin hingga Sabtu dari jam 8.30 pagi hingga 5.30 petang dan ditutup pada Ahad.

Source: Read Full Article