Volkswagen ID.3 dibuka untuk tempahan di Eropah – kereta elektrik penuh pertama Volkswagen, RM186k

Anda mungkin sudah melihat banyak model ID Volkswagen – iaitu model pacuan elektrik penuh – didedahkan sebelum ini. Itu semua model konsep, dan kali ini model ID produksi pertama Volkswagen sudah sedia memasuki pasaran. Ia dikenali sebagai ID.3, dan merupakan versi produksi bagi model ID Concept yang pertama kali ditunjukkan pada tahun 2016. Perincian serta rupa penuh kenderaan ini akan didedahkan bulan September nanti.

Sebelum waktu itu tiba, kita perlu melihat ID.3 ini dengan grafik unik pusaran merah atas warna biru. Walaupun begitu, bentuk asasnya masih dapat dilihat jelas, dan sama seperti model konsep sebelum ini, tapi seperti biasa, beberapa bahagian yang keterlaluan dijadikan lebih sesuai untuk kegunaan biasa.

Sebagai contoh, lampu utama yang sebelum ini rata dengan permukaan badan telah ditukar dengan unit projector biasa, dan di tengahnya terdapat jalur lampu yang menyambungkan keduanya. Bukaan udara di bahagian bawah bampar turut dijadikan lebih besar, cermin sisi kini menggunakan unit biasa (bukannya kamera) dan pintu juga dibuka seperti biasa (bukannya bukaan suicide seperti model konsep).

Pada bahagian belakang, jalur nipis yang digunakan sebagai lampu telah diganti dengan unit berbentuk L yang lebih besar, dan tempat meletak nombor plet berada di bahagian bampar, atas sedikit daripada diffuser. Rekaan rim nampak seperti sama, tapi warnanya sedikit lain dan sudah tentu, dijadikan lebih kecil dengan tayar yang lebih tebal.

ID.3 dibina atas platform Modular Electric Drive Kit (MEB) dan sebagai permulaan, akan ditawarkan dalam edisi pelancaran pertama yang dipasang dengan bateri 58 kWh dan jarak penggunaan 420 km mengikut kitaran WLTP. Secara keseluruhannya, nanti akan ada tiga pilihan bateri dengan jarak penggunaan antara 300 hingga 550 km.

ID.3 1st akan ditawarkan dengan tiga lagi varian. Versi standard mendapat rim yang besar, kawalan suara dan navigasi, manakala ID.3 1st Plus ditambah dengan warna luar dan dalam dua tona, serta sesuatu yang dipanggil oleh Volkswagen sebagai IQ. Light Headlamp. ID.3 1st Max yang paling tinggi pula diberikan dengan bumbung panoramik besar serta teknologi seperti augmented reality head-up display.

Volkswagen juga akan memberikan pembeli ID.3 1st elektrik percuma selama satu tahun sehingga maksimum 2,000 kWh, yang boleh digunakan di stesen pengecas awam yang disambungkan dengan aplikasi We Charge serta rangkaian pengecas pantas IONITY.

Pengeluaran ID.3 dirancang bermula hujung tahun ini, dengan penyerahan pula berlaku pertengahan tahun 2020. Harga untuk ID.3 1st bermula €40,000 (RM185,800), dan Volkswagen juga mengeluarkan janji bahawa nanti ID.3 paling murah akan dijual bawah €30,000 (RM139,300) – dan ini adalah harga sebelum subsidi tempatan.

Source: Read Full Article