Volkswagen nampaknya tidak berpuas hati dengan mempunyai hanya satu model dalam segmen trak pikap iaitu Amarok, dan berhasrat menambahnya dengan sebuah lagi model baru lebih kecil yang akan diperkenalkan dalam bentuk konsep di Sao Paulo International Motor Show 6 November ini.
Syarikat dari Jerman ini masih berahsia tentang perincian trak pikap ini, tetapi mengesahkan ia akan diletakkan di bawah Amarok dalam barisan model sedia ada mereka. Berbeza dengan Amarok yang menggunakan platform ladder-frame, model baru ini pula akan menggunakan platform kenderaan penumpang MQB dan akan berkongsi banyak komponen dengan SUV Tiguan.
Ciri penting pada trak pikap ini adalah tempat simpanan barang “multivariable“, yang terdiri daripada panel yang boleh dilipat pada tempat duduk belakang, sekaligus dapat memanjangkan ruang kargo sehingga ke tempat duduk belakang. Sistem seperti ini kali terakhir dilihat diguna pada Chevrolet Avalanche, yang telah diberhentikan pengeluarannya pada tahun 2013.
Walaupun muncul sebagai sebuah konsep, trak itu nanti bakal menunjukkan ciri utama yang ada pada versi produksi dan hanya sedikit perubahan sahaja akan dilakukan. Walaupun sudah disahkan untuk pasaran Brazil, Volkswagen memberitahu terdapat juga kemungkinan trak ini akan diperkenalkan kepada pasaran lain yang berpotensi. Sebelum ini, Volkswagen juga pernah menunjukkan sebuah lagi trak yang menggunakan platform MQB iaitu Atlas Tanoak.
Source: Read Full Article