Volvo Cars Malaysia (VCM) kini telah membawa sedan S90 dalam versi T5 Momentum ke pasaran tempatan yang diletakkan di bawah model plug-in hybrid T8 Twin Engine Inscription dan T8 Twin Engine Inscription Plus. Volvo S90 T5 Momentum ini dijual pada pasaran tempatan pada harga RM338,888, atau RM30,000 lebih murah berbanding versi asas T8 Twin Engine Inscription.
Model ini hanya dijana oleh enjin petrol turbo 2.0 liter empat-silinder Drive-E tanpa bantuan motor elektrik, menjana 251 hp (254 PS) dan tork maksima 350 Nm. Kuasa dari enjin hanya menjana roda hadapan menerusi kotak gear lapan-kelajuan automatik konvensional Aisin AW TG-81SC. Ini membolehkan sedan berkenaan memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa 6.8 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 230 km/j.
Kemasan untuk varian Momentum ini tentunya berbeza dari versi Inscription. Pada bahagian hadapan, ia diberikan serlahan krom pada gril, dan tiada kemasan krom pada bahagian bampar disertakan. Namun, lampu hadapan LED dengan lampu nyalaan siang bina dalam ‘Tukul Thor’ masih diberikan secara standard bersama fungsi larasan automatik dan lampu tinggi aktif.
Pada bahagian sisi pula, model Momentum ini juga tidak diberikan kemasan krom pada bahagian bawah kesemua pintu seperti pada Inscription, manakala tip ekzos berkembar berbentuk trapezoid pada bahagian belakang digantikan dengan dua tip ekzos berbentuk bulat. Model ini dibekalkan dengan rim aloi 19-inci dengan lima jejari kembar tiga, dibaluti tayar Michelin Pilot Sport 4 bersaiz 255/40R19.
Masuk ke kabin, papan pemuka masih lagi kelihatan sama, tetapi tombol gear kristal Orrefors digantikan dengan tombol konvensional balutan kulit, sementara panel-panel lain menerima kemasan Iron Ore Aluminium. Suis pilihan mod pemanduan yang diperbuat seperti berlian juga tiada pada model ini, tetapi butang penghidup enjin masih pada kedudukan yang sama.
Kelengkapan lain yang turut diberikan pada versi T5 Momentum ini termasuk panel instrumen Adaptive Digital Display dengan paparan 12.3-inci, sistem penghawa dingin dua-zon, sistem infotainmen Sensus Connect dengan skrin sesentuh sembilan-inci, tempat duduk Comfort balutan kulit hitam, tempat duduk hadapan larasan berkuasa, liang udara kabin belakang (pada tiang-B sahaja), kusyen peninggi bina dalam untuk kanak-kanak pada bahagian belakang dan juga kamera undur.
Bagi sistem keselamatan pula, segala kelengakapan pada versi T8 Inscription di bawa terus pada model lebih rendah ini. Antara sistem berkenaan termasuk tujuh-beg udara, Adaptive Cruise Control, City Safety dengan Amaran Pelanggaran Hadpaan serta pengesan pejalan kaki dan penunggang basikal lengkap dengan Brek Automatik Penuh, Amaran Keluar Laluan, Bantuan Kekal Lorong, Sistem Informasi Titik Buta (BLIS), Kawalan Kestabilan Olengan, dan Kawalan Menurun Bukit. Sistem pemanduan separa automatik Pilot Assist juga diberikan bersama Park Assist dan Park Assist Pilot.
Nak tengok kereta ini dengan lebih dekat? Volvo S90 T5 Momentum ini akan dibawa ke acara Premium Auto Car Expo (PACE) yang kami sendiri adakan di Pusat Konvensyen Setia City dari 3 hingga 4 November 2018. Khas untuk acara berkenaan, VCM akan menawarkan lima kali servis standard percuma (VSA 5+) bagi mereka yang menempah XC60 T5, S90 T5 dan XC90 T5 pada kedua-dua hari berkenaan.
Source: Read Full Article