Yamaha EC-05 – skuter elektrik berasaskan model Gogoro yang akan dijual di Taiwan bermula Ogos ini

Di Taiwan, Yamaha telah bekerjasama dengan sebuah syarikat pengeluar skuter elektrik bernama Gogoro untuk menghasilkan model baru EC-05. Ia digerakkan oleh elektrik sepenuhnya, dan bakal dilancarkan dalam tahun ini juga di sana dan dijual menjelang bulan Ogos.

Dalam video yang dikeluarkan melalui Youtube, Yamaha EC-05 ini dikatakan menggunakan asas daripada model Gogoro sedia ada dalam pasaran, tetapi rekaan luarnya mendapat sentuhan sendiri Yamaha Japan. Perincian sebenar EC-05 tidak didedahkan tetapi kami menjangka ia menggunakan asas daripada model Gogoro 2 dan mempunyai kelengkapan sama.

Gogoro 2 datang dalam beberapa variasi dengan prestasi yang boleh mencapai 6.4 kW (8.5 hp) pada 3,000 rpm, laju maksimum 90 km/j dan jarak perjalanan 150 km dengan setiap cas penuh bateri (pada kelajuan 30 km/j). Gogoro juga mempunyai rangkaian infrastruktur skuter elektrik yang membolehkan pengguna kenderaan mereka menukar pek bateri ini di lebih 1,000 tempat dan meneruskan perjalanan tanpa perlu menunggu bateri dicas penuh.



Antara kelengkapan menarik lain yang ada pada Gogoro 2 adalah seperti gear undur, ruang simpanan 25 liter bawah tempat duduk, tiga mod tunggangan, sensor graviti, hentakan, suhu serta cahaya, sistem kunci pintar menggunakan cap jari, alat kawalan jauh atau aplikasi telefon, sambungan bluetooth dan semua lampu LED.

Selain daripada itu, ia juga menggunakan fork teleskopik di hadapan, dua penyerap hentak di belakang dengan larasan pra beban, brek cakera depan dan belakang, sistem brek SBS, rim 12 inci, berat keseluruhan 122 kg (dengan dua pek bateri) dan tinggi tempat duduk antara 750 hingga 770 mm. Harganya pula di sekitar USD3,000 (RM12,493).

Source: Read Full Article