Yamaha FZS-FI dilancar di India – enjin 150 cc, 13.2 PS

Model Yamaha FZ150i yang dipasarkan di Malaysia sudah lama tidak diperbaharui, sedangkan negara jiran sudah menerima bukan satu, malah beberapa variasi penggantinya seperti M-Slaz, Vixion baru ataupun MT-15. Di India pula, muncul sebuah model baru FZS-FI.

Bagi pasaran India, ini adalah FZ generasi ketiga, dan ia menampilkan rupa yang lebih moden, dan jika dibandingkan dengan FZ150i di Malaysia, ia nampak lebih tegap kerana mempunyai bentuk tangki yang besar serta tempat duduk yang luas.

Walaubagaimanapun, enjin suntikan bahan api satu silinder SOHC penyejukan udara 149 cc pada FZS-FI ini mempunyai kuasa yang kurang berbanding FZ150i, ataupun model-model pengganti yang disebutkan awal tadi, iaitu cuma 13 hp pada 8,000 rpm dan 12.8 Nm tork pada 6,000 rpm. Tiada teknologi VVA pada enjin ini manakala transmisi juga masih lagi lima kelajuan.



Pada model baru FZS-FI ini, ia telah diberikan sistem brek ABS one-channel pada brek cakera hadapannya manakala di belakang juga menggunakan brek cakera. Rim adalah unit 17 inci dengan tayar 100/80 di hadapan dan 140/60 di belakang. Kelengkapan baru lain yang diberikan pada model ini adalah lampu jenis LED di hadapan serta meter jenis LCD.

Di India, FZS-FI dijual pada harga bermula 97,000 rupee (RM5,533) dan perincian lain padanya adalah termasuk tangki bahan api 12.8 liter, fork teleskopik di hadapan, monoshock di belakang, berat 137 kg, angkup brek Bybre serta pilihan tiga warna.


Source: Read Full Article