Selepas dilancarkan di Vietnam Ogos lalu, kini Yamaha Y15ZR 2019 (juga dipanggil sebagai Y15ZR V2, MX King 150 atau Exciter 150 bergantung kepada negara) tiba pula di Indonesia dengan tanda harga Rp. 21.950.000 (bersamaan RM6,289).
Kemunculan model ini sememangnya menjadi perhatian ramai kerana melibatkan beberapa naik taraf seperti perumah lampu hadapan bentuk baru bersama unit LED, fender baru bagi menempatkan tayar hadapan lebih besar (saiz 90/80 R17), meter LCD satu warna, butang lampu tinggi (passing light), butang mematikan enjin (kill switch) serta penggera yang boleh ditekan untuk mengeluarkan bunyi.
Kemudiannya, dimensi motosikal ini turut berubah sedikit di mana panjang dan tingginya bertambah masing-masing 15 mm dan 20 mm, tinggi tempat duduk bertambah 15 mm, manakala berat juga bertambah 2 kg. Berkemungkinan ini adalah kesan daripada penggunaan tayar hadapan lebih besar, dan suspensi belakang juga ditala semula kerana dalam risalah, gambar monoshock belakangnya terpapar bersama kelengkapan baru lain.
Bahagian lain masih lagi sama termasuklah penggunaan enjin satu silinder SOHC penyejukan cecair 150 cc, bersama padanan kotak gear lima kelajuan, mampu menghasilkan 15.4 PS pada 8,500 rpm dan 13.8 Nm tork pada 7,000 rpm. Enjin ini tidak mempunyai teknologi Variable Valve Actuation (VVA) seperti R15 dan NVX 155.
Kelengkapan lain yang terdapat pada MX King 150 Indonesia adalah termasuk brek cakera depan dan belakang, tangki bahan api 4.2 liter, lampu belakang LED serta tayar belakang saiz 120/70R17. Pilihan warna pula ada empat iaitu biru, merah, kuning dan Movistar 2018. Model ini juga sudah pernah dilihat diuji di Malaysia, dan mungkin pelancarannya akan dibuat pada tahun 2019.
Source: Read Full Article