Yamaha YZF-R25 2019 dijual pada harga RM19,988

Januari lalu, serentak dengan pelancaran Tracer 900 GT, Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) telah mempertontonkan model baru YZF-R25 yang akan menggantikan R25 di dalam pasaran. Kini, harganya sudah pun diumumkan, iaitu RM19,988 tidak termasuk insurans dan akan berada di pengedar motosikal dalam minggu ini. Ia datang dalam pilihan warna merah dan biru, dan diberi jaminan selama satu tahun atau 10,000 km.

Melalui model baru ini, sudah tentu, penampilannya disegarkan lagi berbanding model sebelum ini dan kini mempunyai lebih banyak bahagian yang mirip seperti R1. Kemudiannya, ciri aerodinamik juga diperbaiki, seterusnya membantu motosikal ini untuk mendapat kelajuan maksimum yang lebih tinggi (lebih 8 km/j). Lampu depan dan belakang motosikal ini menggunakan unit LED.

Untuk bahagian enjin R25, tiada perubahan berbanding model sebelum ini (model sebelum ini dijual pada harga RM19,463) dan ia masih lagi menggunakan unit dua silinder selari suntikan bahan api 249 cc DOHC penyejukan cecair, serta kotak gear enam kelajuan yang sama dengan kuasa 35.5 hp pada 12,000 rpm dan 22.6 Nm tork pada 10,000 rpm.



Perubahan yang lebih utama adalah pada bahagian suspensi, di mana sekarang R25 baru menggunakan fork USD berwarna emas di hadapan, manakala di belakang, monoshock yang digunakan ditala semula untuk memberikan lebih ciri sporty. Kedudukan pemegang motosikal ini juga lebih rendah 22 mm berbanding model sebelumnya.

Reka bentuk tangki (kapasiti 14 liter) juga telah diubah, dan menurut Yamaha, semua perubahan ini memberikan peluang kepada pemilik untuk menikmati asas tunggangan motosikal berciri sporty. Untuk panel instrumen, model baru R25 menggunakan unit LCD digital penuh lengkap dengan lampu shift light.

Model yang dipertonton di Malaysia ini tidak dilengkapi dengan ABS, dan mempunyai berat 166 kg, rim 17 inci, tayar 110/70 di hadapan dan 140/70 di belakang, brek cakera depan dan belakang dan lampu kecemasan (hazard light). Bagi yang tertanya mungkinkah akan ada versi VVA bagi R25 ini, salah seorang wakil Yamaha yang berada di majlis pelancarannya di Indonesia pernah memberitahu bahawa R25 sudah mempunyai kuasa yang cukup dan tidak akan dilengkapi dengan VVA.

Source: Read Full Article