Selepas lapan bulan Mercedes-Benz A-Class W177 muncul buat pertama kali di persada dunia, kini ia dilancarkan pula untuk pasaran Malaysia. Hatchback premium ini ditawarkan dalam dua varian iaitu A 200 Progressive Line dan A 250 AMG Line, dengan harga masing-masing RM227,888 dan RM263,888 (atas jalan termasuk SST, tanpa insurans).
Melalui harga ini, ia menunjukkan peningkatan berbanding model sama taraf untuk generasi W176 sebelum ini yang dijual pada harga RM208,888 dan RM248,888 semasa cukai GST masih dilaksana. Walaupun begitu, model baru ini mempunyai lebih banyak kelengkapan dan diberi dengan jaminan empat tahun tanpa had batuan.
Dibina atas platform Modular Front Architecture 2 (MFA2), A-Class W177 ini mempunyai ukuran 4,419 panjang, 1,796 mm lebar dan 1,440 mm tinggi, menjadikannya 127 mm lebih panjang, 16 mm lebih lebar dan 7 mm lebih tinggi berbanding model sebelum ini. Jarak rodanya juga 30 mm lebih panjang dan Mercedes mendakwa kereta ini menawarkan ruang kepala, bahu dan siku lebih luas, serta akses lebih mudah ke tempat duduk belakang serta ruang simpanan 29 liter lebih besar (370 liter).
Pada bahagian penampilan, A-Class W177 ini melihatkan banyak perubahan, bermula dengan bahagian hadapan yang semakin agresif, lampu lebih runcing dan gril bentuk trapezoid. Pergi ke belakang, lampunya kini terbahagi dua dan mepunyai jarak lebih luas antara pemantul cahaya. Dari tepi, jarak roda yang lebih panjang, serta garis bahu yang lebih jelas menjadikannya nampak lebih panjang.
Kedua-dua varian didatangkan dengan lampu utama LED High Performance (bukan unit Multibeam yang paling canggih) dengan lampu tinggi automatik, dua muncung ekzos di belakang dan rim 18 inci lima cabang. Varian A 250 mendapat pakej luar AMG Line dengan bampar dan side skirt yang lebih agresif, serta rim AMG. Selain itu, A 200 diberi dengan tayar run-flat manakala A 250 datang dengan tayar biasa serta kit pembaikan tayar.
Masuk ke dalam, anda boleh melihat ia mempunyai pengaruh daripada S-Class W222 dan E-Class W213, dengan papan pemukanya didominasi panel paparan besar berukuran 10.25 inci yang seperti terapung dan corong pendingin hawa berbentuk turbin. Sistem infotainmen Mercedes-Benz User Experience (MBUX) diberikan secara standard, dengan skrin sesentuh di tengah dan sistem kawalan suara Linguatronic.
Dengan menggunakan kata kunci “Hey Mercedes,”, pengguna kini boleh mengawal pelbagai fungsi kenderaan seperti pendingin hawa, radio dan navigasi. Sistem ini boleh mengenal bahasa percakapan biasa (contohnya, jika anda berkata “I am cold“, ia akan menurunkan suhu pendingin hawa) dan boleh mempelajari loghat seseorang.
Untuk bahagian dalaman ini juga, A 200 menggunakan kemasan kayu hitam dan balutan kulit Artico, manakala A 250 mendapat tempat duduk sport dengan penyandar kepala bersepadu, roda stereng yang dibalut kulit Nappa, hiasan aluminium serta balutan kulit Artico dan gentian mikro Dinamica.
Kelengkapan yang sudah ditunggu lama untuk A-Class iaitu sistem masuk tanpa kunci serta pengawal pendingin hawa automatik satu zon kini sudah diberi, bersama barangan lain seperti tempat duduk hadapan larasan kuasa dengan fungsi memori dan larasan lumbar, cermin sisi boleh malap dan terlipat sendiri, cruise control, lampu suasana 64 warna, plet tepi pintu berlampu, navigasi berasaskan hard-disk serta fungsi Apple CarPlay dan Android Auto.
Di bawah bonet, A 200 kini menggunakan enjin empat silinder turbo M282 1.33 liter yang lebih kecil dan dibangunkan bersama dengan Renault. Ia mampu menghasilkan 163 hp pada 5,500 rpm dan 250 Nm antara 1,620 hingga 4,000 rpm. Digabungkan dengan transmisi klac berkembar tujuh kelajuan Getrag baru, varian ini boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 8.0 saat, mencapai kelajuan maksimum 225 km/j dan mencatat penggunaan bahan api 5.2 l/100 km.
Varian A 250 pula menggunakan enjin 2.0 liter M260 yang sama seperti sebelum ini (sekarang dipanggil M270), tetapi diperelok untuk menghasilkan kuasa 224 hp pada 5,500 rpm dan 350 Nm tork antara 1,800 hingga 4,000 rpm. Ia boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 6.2 saat mencatat penggunaan bahan api 6.2 l/100 km. Transmisi model ini juga telah dipertingkat, menggunakan unit DCT Mercedes sendiri.
Kedua-dua varian A-Class ini didatangkan dengan suspensi untuk keselesaan, dengan penyerap pasif dan kedudukan 15 mm lebih rendah daripada biasa. Walaubagaimanapun, A 250 adalah satu-satunya varian yang datang dengan suspensi belakang multilink, sementara A 200 menggunakan tetapan torsion beam. Pada aspek keselamatan, kedua-dua varian datang dengan tujuh beg udara, Active Brake Assist (brek kecemasan autonomous), sistem pemerhati tekanan angin tayar dan Active Parking Assist dengan kamera undur.
Anda boleh melihat spesifikasi dan kelengkapan penuh dua varian A-Class ini CarBase.my dan juga membandingkannya dengan model jenama lain yang berada dalam pasaran Malaysia.
Source: Read Full Article