Sime Darby Auto Performance (SDAP) telah melancarkan secara rasmi Porsche 911 GT3 RS baru di Malaysia dan ia kini sedang dipamerkan di Pavilion KL sehingga Ahad ini (14 Oktober). Harga asas kenderaan ini bermula daripada RM2.23 juta termasuk semua cukai yang berkaitan dan jaminan selama empat tahun, tetapi tidak termasuk pendaftaran, cukai jalan dan insurans.
Enjin enam silinder NA 4.0 liter dan kotak gear automatik PDK tujuh kelajuan klac berkembar masih lagi digunakan untuk model ini, tetapi ditala untuk memberi lebih kuasa. Kini ia mampu menghasilkan 520 PS (513 hp), iaitu 20 PS (20 hp) lebih berbanding model sebelum ini, bersama 470 Nm tork. Kitaran enjin maksimum masih lagi dihadkan pada 9,000 rpm tetapi kuasa paling tinggi dapat sampai lebih awal, pada 8,250 rpm dan 6,000 rpm untuk tork maksimum.
Dengan kuasa yang lebih ini, laju maksimum juga bertambah menjadi 312 km/j (sebelum ini 310 km/j), manakala pecutan 0-100 km/j kini boleh dilakukan dalam masa 3.2 saat (turun 0.1 saat). Selain daripada itu, pecutan 0-160 km/j pula boleh dilakukan dalam masa 6.9 saat, dan 0-200 km/j dalam 10.6 saat.
Perubahan bahagian luar kenderaan ini termasuk sayap belakang baru, yang disertai bampar depan dan belakang rekaan baru, yang diperbaiki untuk menyampaikan udara secara lebih baik kepada bukaan yang ada serta corong laluan udara keluar di belakang.
Perubahan lain datang daripada pengalaman syarikat ini dalam sukan permotoran, yang termasuk ball joint pada semua arm (supaya lebih tepat daripada bearing biasa), serta tayar baru – saiz 263/35 di depan dan 325/30 di belakang. Saiz rim pula adalah 20 inci di depan dan 21 inci di belakang.
Pembeli juga boleh mendapatkan pakej Clubsport tanpa sebarang kos tambahan, di mana dalam pakej itu, kenderaan akan dilengkapkan dengan roll cage, pemadam api manual, persediaan untuk suis pemati bateri dan tali pinggang six-point. Jika mahukan lebih ciri sport, anda boleh memilih pakej Weissach (dengan bayaran tambahan) yang dapat menjadikan kenderaan 17 kg lebih ringan hasil penggunaan gentian karbon pada bahagian tertentu.
Source: Read Full Article