Model ‘sedan’ dan ‘wagon’ Porsche iaitu Panamera dan Panamera Sport Turismo kini menerima varian baharu dijana enjin petrol 4.0 liter V8 bersama dua pengecas turbo digelar GTS. Varian yang diletakkan di bawah model paling berkuasa Turbo dan di atas varian V6 4S ini turut dilengkapi dengan pelbagai sistem casis dinamik tambahan dan juga peralatan serta rekaan yang unik hanya untuknya.
Enjin V8 GTS ini mampu untuk menjana 460 hp dan tork maksima 620 Nm, atau 20 hp/100 Nm lebih berkuasa dari model terdahulu. Ini membolehkan kereta ini memecut dari 0-100 km/j hanya dalam 4.1 saat dengan pakej Sport Chorno. Model sedan Panamera GTS mampu untuk mencapai kelajuan maksima 292 km/j, manakala wagon Panamera Sport Turismo GTS berupaya mencatatkan 289 km/j.
Kuasa dari enjin dialirkan ke kesemua roda menerusi sistem AWD Porsche Traction Management (PTM) dan juga kotak gear klac berkembar automatik lapan-kelajuan PDK. Sistem ekzos sport dibekalkan secara standard untuk model GTS ini, bersama penapis gasoline particulate filter bagi membolehkan bacaan penggunaan bahan api dicatatkan pada 10.3 liter untuk 100 km (10.6 liter/100 kmm untuk Sport Turismo).
Model-model GTS ini juga didatangkan standard bersama sistem suspensi udara adaptif dengan teknologi tiga chamber, yang menurut Porsche membolehkan kawalan fleksibel dan kadar spring paling optimum dapat dilaras dengan lebih rata. Casis sport kereta ini telah direndahkan lagi sebanyak 10 mm, manakala sistem Porsche Active Suspension Management (PASM) dapat mengadaptasi talaan yang lebih sporty. Versi GTS ini turut menerima brek berdiameter 390 mm di hadapan dan 365 mm di belakang bagi memberhentikan badan dengan janaan enjin V8 berkenaan.
Panamera GTS generasi baharu ini menerima pakej asas yang lebih baik dari versi generasi sebelumnya. Pakej Sport Design diberikan bersama kemasan hitam di hadapan dan bahagian bawah belakang, serta elemen-elemen lebih gelap bagi menyerlahkan “imej yang lebih atletik”. Rim Panamera Design berdiameter 20-inci pula dibekalkan secara standard.
Masuk ke kabin, balutan-balutan Alcantara dan juga kemasan-kemasan aluminium tersadur diberikan dan juga ciri-ciri standard lain seperti roda stereng sport bersama pedal penukar gear dan juga modul Connect Plus untuk servis-servis digital. Pakej Interior GTS pula ditawarkan sebagai opsyen, membolehkan pemilik menentukan sendiri pilihan elemen rekaan seperti pada meter RPM dan logo-logo GTS dengan warna Carmine Red atau Crayon.
Dari segi teknologi lain, varian GTS ini menawarkan kelengkapan yang sama dengan varian Panamera generasi kedua yang lain. Ini termasuk Porsche Advanced Cockpit digital, sistem-sistem bantuan seperti Porsche Innodrive termasuk cruise control adaptif, dan juga sistem stereng untuk gandar belakang yang ditawarkan sebagai opsyen.
Namun, model GTS ini merupakan varian pertama dalam barisan model Panamera yang menerima paparan Head-up. Pancaran paparan berwarna tersebut boleh dilaras oleh pemandu, dan memberikan pelbagai informasi yang relevan.
Bagi mereka yang belum mengetahui, akrnonim ‘GTS’ dalam kamus produksi Porsche adalah bermaksud Gran Turismo Sport, iaitu model yang membawa teknologi litar perlumbaan ke versi jalan raya biasa. Model pertama yang menerima lencana GTS ini adalah 904 Carrera GTS yang dilancarkan pada tahun 1963, diikuti 924 GTS dan 928 GTS pada era 80’an dan 90’an. Model GTS mula diperkenalkan semula pada tahun 2007 menerusi model 911 Carrera GTS, dan kemudian diberikan pula pada Panamera GTS generasi pertama pada tahun 2011.
Source: Read Full Article