Proton labur RM1.2 bilion untuk produksi X70, Tanjung Malim bakal jadi hab R&D dan pengeluaran model RHD

Serentak dengan majlis perjanjian antara vendor-vendor tempatan dan syarikat-syarikat dari China hari ini, Proton turut mengumumkan bahawa mereka akan melabur sejumlah RM1.2 bilion bagi usaha-usaha memperbesarkan lagi kilang di Tanjung Malim untuk membolehkan mereka mampu untuk memproduksi SUV pertamanya, X70 serta model-model generasi akan datang.

Bukan itu sahaja, pelaburan berkenaan turut akan digunakan untuk mentransformasi fasiliti mereka di Tanjung Malim bagi membolehkannya menjadi hub untuk kerja-kerja R&D serta hub produksi untuk model-model pemanduan sebelah kanan (RHD) dalam barisan produk Geely Group.

Dalam laporan sebelum ini, Proton telah disahkan menerima lesen untuk menggunakan hak intelektual (IP) serta hak untuk memproduksi serta menjual tiga model Geely iaitu SUV Boyue (Proton X70), crossover segmen-B SX11 (atau dikenali juga sebagai Bin Yue) serta MPV yang belum didedahkan sepenuhnya VF11.


Melalui perjanjian berkenaan, Proton berhak terhadap rekaan, pembangunan, pembuatan, jualan, pemasaran dan pengedaran untuk tiga model; dan ia menyatakan bahawa Brunei, Indonesia, Malaysia, Singapura dan Thailand sebagai negara yang dibenarkan untuk Proton memasarkan model-model yang telah diberikan lesen. Lesen tersebut sah selama 10 tahun.

“Proton menggesa pembekalnya untuk mengambil peluang ini bagi mewujudkan usaha sama dengan pembekal luar negara untuk mencapai standard dunia dari segi kemajuan teknologi dan kualiti. Ini akan membolehkan mereka bersaing diperingkat antarabangsa dan membangunkan komuniti pembekal industri automotif Malaysia yang mampu bersaing secara global,” kata Pengerusi Proton Dato Seri Syed Faisal Albar.



“Penglibatan pembekal Malaysia adalah komponen utama untuk mencapai matlamat jangka masa panjang syarikat. Kami mahu produk Proton yang dihasilkan di sini iaitu di Tanjong Malim, menggunakan komponen buatan Malaysia untuk pasaran domestik serta model eksport dan mampu berdepan dengan pesaing dari seluruh dunia. Ini adalah komitmen Proton, sebagai jenama automotif ikonik Malaysia, untuk memastikan industri automotif Malaysia terus membangunkan kompetensi kelas dunia,” katanya.

SUV Proton X70 yang akan dilancarkan November ini buat permulaan akan ditawarkan sebagai model CBU dari China, kemudian ia bakal dipasang secara tempatan di Tanjung Malim tahun hadapan. Walaupun belum lagi dilancarkan, maklumat berkenaan SUV ini telah pun didedahkan oleh Proton yang boleh anda baca DI SINI.

Source: Read Full Article