Sebelum ini, ada yang menjangkakan bahawa Toyota Rush akan di bawa ke Malaysia dengan lencana Perodua, sebagai SUV baharu jenama automotif nasional kedua negara berkenaan. Namun apa yang pasti sekarang, model Rush generasi baharu tersebut akan dilancarkan pada pasaran tempatan pada 18 Oktober ini oleh UMW Toyota Motor (UMWT) sendiri, dan pendaftaran minat untuk orang awam sudah pun di buka – anda boleh lakukannya pada pautan ini.
Model generasi kedua berkenaan telah membuat kemunculan sulungnya di Indonesia November tahun lalu, dan berbanding model terdahulu, Rush kini menampilkan rupa sebuah MPV yang diberi penggayaan seperti SUV – prinsip rekaan yang hampir serupa dengan Honda BR-V dan juga Mitsubishi Xpander. Ia juga menerima elemen rekaan seperti abangnya iaitu Toyota Fortuner, terutama pada bahagian muka.
Pada bahagian dalaman, Rush diberikan pelbagai peningkatan seperti penggunaan material sentuhan lembut, papan pemuka dua tona, port USB pada setiap baris tempat duduk, sistem infotainmen DVD-AVX dengan skrin sesentuh tujuh-inci serta sistem penghawa dingin automatik. Namun kesemua ini adalah ciri-ciri yang dibekalkan untuk model pasaran Indonesia, manakala spesifikasi pasaran Malaysia masih belum diketahui.
Untuk ciri keselamatan pula, Rush 2018 pasaran Indonesia menerima enam beg udara, VSC, ABS, EBD, bantuan mula mendaki, isyarat berhenti kecemasan serta pengingat tali pinggang keledar untuk kesemua tujuh tempat duduknya. Ia turut diberikan lampu hadapan LED (turut ditunjuk dalam teaser UMWT berkenaan) dengan lampu panduan LED serta lampu belakang LED.
Model generasi kedua ini dijana enjin baharu 2NR 1.5 liter DOHC – enjin dari siri yang sama pada Perodua Myvi 2018 dan juga Toyota Avanza generasi terkini. Namun, unit dengan teknologi Dual VVT-i pada Rush ini ditala untuk mengekstrak kuasa 104 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 136 Nm pada takat 4,200 rpm. Ia digandingkan dengan pilihan sama ada kotak gear lima-kelajuan manual atau empat-kelajuan automatik.
Source: Read Full Article