Setelah hampir setahun membuat kemunculan sulung peringkat global di Indonesia, hari ini Toyota Rush generasi kedua dilancarkan secara rasmi di Malaysia. Ditawarkan dalam dua varian, Rush 2018 dijual pada harga anggaran bermula RM93,000 untuk versi 1.5G dan RM98,000 untuk model tertinggi 1.5S.
Rush generasi baharu ini hadir dalam versi CKD, namun ia bukan dipasang di kilang UMW Toyota Shah Alam, sebaliknya diproduksi oleh kilang Perodua di Rawang di bawah kontrak yang telah ditandatangani. Walau bagaimanapun, ia tetap di bawa ke kilang Toyota Bukit Raja bagi pemasangan aksesori dan pemeriksaan akhir bagi memastikan Rush ini kekal dengan kualiti Toyota.
Seperti yang diketahui, Rush baharu ini dibina dengan konsep berlainan dari model terdahulu. Jika sebelum ini Rush tampil sebagai sebuah SUV sebenar, model generasi baharu ini menampilkan rupa sebuah MPV tujuh-tempat duduk yang diberi penggayaan seperti SUV – prinsip rekaan yang hampir serupa dengan Honda BR-V dan juga Mitsubishi Xpander.
Walaupun ia kini mungkin tidak seperti generasi sebelumnya, Rush tetap menampilkan ruang kelegaan tanah yang agak tinggi dengan 220 mm – membuatkan ia kelihatan lampai. Berbanding Honda BR-V, Rush mempunyai kelegaan tanah 19 mm lebih tinggi, manakala panjang 4,435 mm dan lebar 1,695 mm Toyota ini membuatkan ia 18 mm lebih pendek dan 40 mm lebih lebar dari saingan terdekatnya tersebut. Manakala dengan dimensi 2,685 mm, Rush mempunyai jarak roda 23 mm lebih jauh dari BR-V.
Pada bahagian luaran, varian G dan S menampilkan rupa yang hampir sama. Kedua-duanya datang standard dengan lampu hadapan LED, lampu belakang LED, serta kit badan yang digelar R-Blade – yang lengkap dengan kemasan-kemasan pelindung disekeliling badan dan warna dua tona bagi kelihatan persis Abang Longnya, Toyota Fortuner.
Khas untuk varian S, ia turut hadir dengan lampu kabus hadapan. Manakala rim dua tona 17-inci dibaluti tayar 215/60R17 adalah ciri standard untuk kedua-dua varian.
Masuk ke kabin, kesemua varian Rush pasaran Malaysia menerima kabin berwarna hitam dengan kontras kemasan beige, perak dan krom. Varian asas menerima tempat duduk balutan fabrik, manakala varian tertinggi S diberikan balutan kulit pada tempat duduk, roda stereng dan juga tombol penukar gear.
Untuk sistem infotainmen, kedua-dua model menerima kelengkapan yang sama iaitu sistem audio DVD-AVX dengan skrin sesentuh kapasitif 6.8-inci. Selain dari sistem Panaromic View Monitor (PVM) 360-darjah yang dihubungkan kepada empat monitor dan hubungan Bluetooth, sistem berkenaan turut mempunyai fungsi “mirror” bagi membolehkan fungsi pada telefon pintar anda (tidak kira iOS atau Andriod) dikawal menerusi skrin infotaimen, termasuk fungsi navigasi GPS.
Fungsi lain yang turut diberikan pada semua model Rush adalah pembaca Smart Tag dan Dash Cam bina dalam, dua soket 12V konvensional (hadapan dan tempat duduk baris ketiga), dua port USB (hadapan dan sisi tempat duduk pemandu seperti pada Perodua Myvi), 13-pemegang cawan, sistem penghawa dingin automatik (tanpa butang memori seperti Rush Indonesia dan Myvi) dan juga blower bersama cooling coil berasingan untuk kabin belakang.
Barisan tempat duduk MPV-SUV direka dengan bentangan 2-3-2. Manakala tempat duduk baris ketiga mudah untuk diakses dengan tombol satu sentuhan diberikan untuk melipat tempat duduk baris kedua. Ruang kargo belakang dihasilkan bagi mendapatkan kapasiti 217 liter. Namun setelah tempat duduk baris kedua (nisbah lipatan 60:40) dan baris ketiga (nisbah lipatan 50:50) dilipat sepenuhnya, bahagian belakang boleh memuatkan kargo dengan kapasiti 514 liter.
SUV-MPV ini dijana enjin baharu 2NR 1.5 liter DOHC – enjin dari siri yang sama pada Perodua Myvi 2018 dan juga Toyota Avanza generasi terkini. Namun, unit dengan teknologi Dual VVT-i pada Rush ini ditala untuk mengekstrak kuasa 104 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 136 Nm pada takat 4,200 rpm. Digandingkan dengan hanya kotak gear empat-kelajuan automatik, kuasa hanya dialirkan ke gandar belakang.
Untuk keselamatan, model ini didatangkan standard untuk semua varian dengan enam-beg udara, VSC, ABS, bantuan mula mendaki, isyarat berhenti kecemasan dan juga peringat tali pinggang keledar untuk kesemua tujuh-tempat duduk. Selain itu, Rush turut menerima sistem bantuan pemanduan seperti Pemantau Titik Buta (BSM) dan juga Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA). Istimewa untuk varian S, ia turut diberikan sistem Amaran Pra-Pelanggaran (PCS).
Enam warna ditawarkan untuk Rush generasi baharu ini iaitu Putih, Perak Metalik, Kelabu Gelap Metalik, Biru Metalik dan juga Hijau Gelap Metalik. Setiap pembelian model ini hadir statndard dengan jaminan lima-tahun tanpa had perbatuan, serta boleh dipindah ke pemilik baharu sekiranya ia dijual semula dalam tempoh berkenaan.
Source: Read Full Article