Di Eropah, model SUV mewah Audi Q8 kini ditawarkan dengan dua lagi tambahan enjin enam silinder baru, sekaligus memberikan pelanggan di sana lebih lagi pilihan. Enjin baru yang pertama adalah unit petrol V6 3.0 liter untuk Q8 55 TFSI, dengan kuasa 340 hp dan 500 Nm tork. Enjin ini juga berkemungkinan tiba di Malaysia, dan mampu menyediakan pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.9 saat sebelum mencapai laju maksimum 250 km/j.
Kedua adalah unit diesel 3.0 liter, yang digunakan untuk Q8 45 TDI, dengan menyediakan kuasa sebanyak 231 hp dan 500 Nm tork antara 1,750 hingga 3,250 rpm. Melalui enjin diesel ini, pengguna dapat melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 7.1 saat, dengan kelajuan maksimum 233 km/j.
Kedua-dua enjin baru ini dipadankan bersama sistem hibrid ringkas 48 volt, yang dikatakan dapat mengurangkan penggunaan bahan api sehingga 0.7 liter bagi 100 km dalam penggunaan dunia sebenar. Sistem hibrid ini melibatkan penggunaan bateri lithium ion dan belt alternator starter (BAS) yang dapat menjana semula sehingga 12 kW dan disalurkan kepada bateri.
Dalam kelajuan antara 55 hingga 160 km/j, Q8 dapat meluncur selama 40 saat dengan enjin tertutup, apabila kaki pemandu diangkat daripada pedal minyak. Selepas itu, sistem BAS tadi akan menghidupkan kembali enjin secara pantas dan lancar. Walaupun nampak menarik, kita masih tidak tahu sama ada sistem hibrid ini akan ditawarkan di Malaysia.
Untuk transmisi, kedua-duanya dipadankan dengan unit tiptronik lapan kelajuan, menghantar kuasa kepada semua roda melalui sistem pacuan quattro jenama itu. Kedua-dua Q8 55 TFSI dan 45 TDI dipasang secara standard dengan rim 19 inci yang dibalut tayar 265/55. Turut diberikan adalah suspensi dengan pengawal serapan, sistem kawalan dinamik Drive Select, sistem infotainmen MMI Navigation Plus serta kokpit virtual Audi.
Source: Read Full Article