Kilang Honda Swindon UK akan ditutup, bakal jejas mata pencarian 3,500 orang pekerja – laporan

Ini mungkin berita yang agak mengejutkan – Honda dilaporkan bakal menutup antara fasiliti paling pentingnya diluar Jepun, iaitu kilang Swindon di UK pada 2022. Menurut laporan The Guardian, pekerja-pekerja kilang berkenaan kini sedang gusar dengan masa depan mereka, dan turut menyalahkan Brexit sebagai sebab utama yang mungkin menyebabkan penutupan tersebut.

Salah seorang pekerja yang enggan namanya disiarkan menyatakan bahawa keadaan di dalam kilang kini “jelas tidak gembira” dengan situasi ini. Dia yang telah 24 tahun bekerja disitu menegaskan bahawa ini semua adalah salah Brexit, dan dia sendiri mengundi untuk UK kekal di dalam Kesatuan Eropah.

Manakala satu lagi laporan dari BBC menyebut sekitar 3,500 orang pekerja akan kehilangan mata pencarian mereka sekiranya kilang ini ditutup. Tiada lagi sebarang pengumuman rasmi dibuat oleh Honda, namun ahli parlimen UK, Justin Tomlinson berkata beliau telah berhubung dengan Honda berkenaan perkara ini bagi membincangkan hal nasib pekerja. Menurut Tomlinson, buat masa ini sehingga 2021, dia perubahan dalam produksi, dan dijangka tiada sesiapa yang akan kehilangan pekerjaan.

Dalam laporan yang sama, kesatuan The Unite menyatakan bahawa sekiranya perkara ini benar-benar berlaku, ia bakal menjadi “satu tamparan yang membinasakan”. Pegawainya Des Quinn berkata “industri kereta di UK selama dua dekad kebelakangan ini adalah ibarat permata pada mahkota dalam sektor pembuatan – sekarang ia jatuh dan menjadi huru-hara kerana ketidaktentuan Brexit yang diwujudkan oleh pendekatan keras diambil perdana menteri Theresa May”.



Des Quinn turut menambah, penutupan kilang ini kelak bukan sahaja akan menjejaskan periuk nasi pekerjanya serta keluarga mereka, malah ia turut boleh menyebabkan pekerja-pekerja dalam rantaian pembekalan seluruh negara turut akan kehilangan mata pencarian.

Kilang Swindon ini dibina di atas bekas lapangan terbang, yang sebelum itu hanya digunakan untuk membuat pemeriksaan akhir sebelum penghantaran (PDI) pada tahun 1985. Operasi penghasilan enjin bermula pada tahun 1989 dan tiga tahun selepas itu Honda UK mula memasang model lengkap Accord di kilang berkenaan.

Fasiliti ini juga adalah pusat dimana terhasilnya model-model Type R dari Honda UK seperti Honda Accord Type R, Civic Type R EP3, Civic Type R FN2 dan Civic Type R FK2 – kesemua ini tidak dibuat di Jepun. Malah model Type R terkini iaitu Civic Type R FK8 juga hanya dihasilkan di Swindon dan diimport keseluruh dunia termasuk Jepun.

Tahun lalu sahaja, sebanyak 160,000 unit Honda Civic generasi kesepuluh dihasilkan di Swindon, di mana 90% daripadanya diimport ke seluruh Eropah. Selain kereta lengkap, kilang ini juga kini memproduksi enjin-enjin petrol Earth Dreams VTEC Turbo dan enjin diesel I-DTEC. Honda juga telah membuka kilang kedua di Swindon pada 2001 bagi membolehkan ia memproduksi 250,000 unit kereta setahun. Namun akibat ketidaktentuan Brexit ini, ia kini hanya beroperasi dengan separuh kapasitinya sahaja.

Source: Read Full Article