Bas perantara MRT guna sistem pembayaran tambang tanpa tunai sepenuhnya mulai 1 Feb ini – Prasarana

Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) telah mengumumkan RAPID Bus Sdn Bhd, pengendali perkhidmatan bas Rapid KL, akan melaksanakan sistem pembayaran tambang tanpa tunai sepenuhnya bagi semua bas perantara Mass Rapid Transit (MRT) bermula 1 Februari 2019.

Ia bertujuan untuk meningkatkan kemudahan penumpang dan menikmati perjalanan yang lebih lancar ketika menaiki bas. Ia meliputi semua 57 laluan bas perantara dari Sungai Buloh ke depot MRT Kajang, laporan Bernama.

Menurut Prasarana lagi, tempoh tangguh satu bulan lagi diberi kepada pemegang kad konsesi semasa iaitu pelanggan terdiri daripada pelajar, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) yang masih dibenarkan untuk membayar dengan tunai sehingga 28 Februari.

Tempoh tangguh ini bertujuan bagi membolehkan mereka untuk memohon kad konsesi mereka melalui www.myrapid.com.my atau di kaunter konsesi Pasar Seni dan hab bas Pasar Seni.

Dalam masa yang sama, pihak pengendali bas ini turut menjangkakan 51% daripada 60,000 penumpangnya dalam sehari akan menukar kepada sistem tanpa tunai dengan lancar.

Prasarana berkata langkah itu juga dapat menyokong usaha negara untuk mempercepat agenda nasional ke arah merealisasikan masyarakat tanpa tunai, yang menjadi sebahagian aspirasi kerajaan untuk meningkatkan kecekapan sistem pembayaran negara.

Justeru, pelanggan dinasihatkan untuk membeli kad Touch ‘n Go sebelum menaiki bas bagi memastikan kelancaran perjalanan bersama kami. MyRapid Touch ‘n Go boleh dibeli dari mana-mana pejabat perkhidmatan pelanggan MRT, Transit Aliran Ringan (LRT), Monorail atau Bas Rapid Transit (BRT). Mereka yang telah membeli produk My100 dan My50 boleh menggunakannya bagi sistem pembayaran tanpa tunai di dalam bas.

Related Cars for Sale on









Source: Read Full Article