Cycle & Carriage Bintang akan jual kesemua 49% saham dalam Mercedes-Benz M'sia kepada Daimler AG

Cycle & Carriage Bintang (CCB) akan menjual kesemua 49% kepentingannya dalam Mercedes-Benz Malaysia (MBM) kepada syarikat pemilik jenama berkenaan, Daimler AG. Pengumuman ini dibuat dalam satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan, dan langkah tersebut diambil berikutan tawaran Daimler terhadap 66,003,000 saham CCB dalam MBM dengan harga RM66,003,000.

Proses pengalihan saham ini akan dibuat dalam masa 12 bulan bermula 30 November 2018. Setelah ianya lengkap sepenuhnya, CCB tidak lagi berhak untuk menerima pendapatan berjumlah RM11.2 juta dari MBM, dan tidak akan memegang lagi sebarang kepentingan dalam MBM.

Walau bagaimanapun, CCB menyatakan bahawa langkah ini tidak akan menjejaskan operasi 13-pengedar Mercedes-Benz miliknya di seluruh negara. Hubungan antara CCB dan jenama Mercedes-Benz itu sendiri sudah terjalin selama lebih 50-tahun, dan mendapat pegangan saham bernilai 49% tersebut pada tahun 2003.

“Cycle & Carriage Bintang ingin memberikan jaminan kepada semua pelanggan bahawa keputusan terbaharu Daimler AG untuk menawarkan pengambilalihan saham syarikat dalam Mercedes-Benz Malaysia tidak akan menjejaskan komitmen atau kemampuan kami bagi memberikan pengalaman yang menakjubkan kepada pelanggan kami di semua pengedar seluruh negara,” kata CEO CCB, Willfrid Foo.

“Kesemua pengedar akan terus memberikan anda jualan dan servis selepas jualan yang berkualiti mengikut standard Mercedes-Benz yang ketat disokong oleh Mercedes-Benz Malaysia,” katanya lagi.

Source: Read Full Article