Dasar AP Terbuka dijangka rancakkan lagi industri automotif di kalangan usahawan Bumiputera – MITI

Pelaksanaan Dasar Baharu Lesen Import (AP) Terbuka oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sejak 1 Januari lalu dijangka akan merancakkan lagi industri automotif di kalangan usahawan Bumiputera. Berpandukan dasar baharu ini, AP yang dikeluarkan kementerian tidak akan dihadkan untuk diluluskan sepanjang tahun manakala semua syarikat sama ada sedia ada atau baharu boleh memohon AP tambahan berdasarkan prestasi jualan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh MITI, “Pelaksanaan dasar ini sejajar dengan keputusan kerajaan pada 23 Disember 2015 untuk meneruskan dasar berkenaan dengan beberapa penambahbaikan termasuk menyediakan peluang kepada usahawan Bumiputera untuk menyertai industri berkenaan.

“Objektif dasar baharu ini adalah untuk menggalakkan pembangunan usahawan baharu Bumiputera dalam industri automotif serta memastikan dasar ini terus menyumbang kepada matlamat sosio ekonomi negara. Selain itu, ia juga bertujuan mewujudkan daya saing pasaran yang akan memberi manfaat kepada pengguna terutamanya dari segi harga dan perkhidmatan.”

Kenyataan yang disiarkan oleh Berita Harian itu turut menyebut pada masa ini kebanyakan syarikat baharu masih belum beroperasi sepenuhnya kerana perlu memenuhi beberapa keperluan teknikal dan sedang membuat persiapan pengendalian operasi.

Kementerian itu berkata, ketika tawaran permohonan dibuka pada 23 Mei 2016 hingga 21 Jun 2016, MITI menerima hampir 300 permohonan untuk menjadi syarikat AP terbuka. Di mana selepas penilaian dibuat yang turut membabitkan kerja pengauditan oleh sebuah syarikat juruaudit bebas bertauliah, bilangan syarikat yang layak adalah sebanyak 164 syarikat iaitu 128 syarikat sedia ada dan 36 syarikat baharu.

Bagaimanapun, mengikut dasar baharu ini, jika berlaku pelanggaran terhadap mana-mana syarat AP terbuka yang ditetapkan, tindakan tegas akan diambil terhadap syarikat berkenaan.

“Ia termasuk menarik balik atau membekukan AP yang diperuntukkan dan diluluskan, menyenarai hitam syarikat termasuk setiap pemegang saham dan ahli lembaga pengarah syarikat daripada mengemukakan permohonan memperoleh AP terbuka pada masa depan dan mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat. Tahun lalu, sembilan syarikat sedia ada disenarai hitam kerana tidak mematuhi syarat AP terbuka yang ditetapkan,” katanya.

Kementerian itu menjelaskan, antara syarat yang perlu dipenuhi ialah syarikat mesti dimiliki 100 peratus oleh Bumiputera, termasuk jawatan penting di peringkat pengurusan, mempunyai pengalaman sekurang-kurangnya dua tahun dalam bidang penjualan dan pengedaran kenderaan serta mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh.

Walau bagaimana pun, MITI masih belum mengeluarkan kenyataan berhubung dakwaan kerajaan telah meluluskan 38 AP baharu seperti yang hangat diperkatakan sejak beberapa hari ini.

Related Cars for Sale on









Source: Read Full Article