Honda bakal tunjuk prototaip EV terbaru di Geneva

Untuk Pameran Permotoran Geneva tahun ini, Honda akan memperkenalkan sebuah prototaip kenderaan elektrik terbaru. Sebagai teaser, gambar ini merupakan rekaan awal model terbabit yang mula ditunjuk kepada umum.

Menurut Honda, prototaip itu nanti menjadi lanjutan kepada “Electric Vision”, yang menjadi hala tuju komitmen untuk menjadikan dua pertiga daripada kenderaannya yang dijual di Eropah adalah dari teknologi elektrik menjelang 2025.

Rekaan prototaip berkenaan banyak persamaan dengan model Urban EV Concept yang ditunjukkan pada 2017. Paling utama pada rekaan lampu utamanya yang bulat serta elemen pada bonet depan. Bagaimanapun, EV yang belum diberikan nama itu mempunyai rekaan badan yang lebih berlekuk berbanding imej retro model yang disebutkan itu.

Perincian lain yang boleh dilihat ialah bonjolan kecil pada dasar A-pillar; bertujuan untuk menempatkan kamera, serta penggunaan warna dwi-tona. Bagi sistem janaan yang digunakan, belum ada apa-apa maklumat yang dikongsi setakat ini. Lebih menarik, Honda mengesahkan yang model itu nanti akan dikeluarkan dan dipasarkan pada hujung tahun nanti.

Source: Read Full Article