Honda CBR150R diperbaharui di Thailand – RM11.8k

Selain CBR250RR, pengedar motosikal Honda di Thailand turut melancarkan model facelift CBR150R untuk pasaran sana. Ia sebenarnya adalah sebuah model yang sudah terlebih dahulu dilancarkan di Indonesia hujung tahun lalu, dan kini kita dapat melihat bagaimana pula rupa untuk model pasaran Thailand.

Di Thailand, CBR150R ditawarkan dalam empat warna iaitu hitam, biru, merah dan edisi Repsol. Harga pula bermula 92,000 baht (RM11,820) bagi model paling asas dan pergi hingga 94,000 baht (RM12,077) bagi yang dilengkapi dengan ABS.

Antara perubahan yang diberi untuk model facelift terbaru ini, selain grafiknya adalah penghadang angin yang lebih tinggi di hadapan dan lampu yang lebih tajam. Pada bahagian prestasi pula, ia sekarang didatangkan dengan cakera brek hadapan berombak manakala suspensi hadapan dan belakang juga boleh dilaras.



Pergi ke panel meternya, ia menggunakan unit digital dengan warna baru, sementara sistem keselamatan turut dipertingkat dengan bahagian brek yang kini boleh didapati dengan sistem ABS dan dilengkapi dengan Emergency Stop Signal (ESS) yang boleh menyalakan lampu kecemasan apabila membrek secara kuat.

Bahagian lain motosikal ini masih lagi sama termasuk enjin dan transmisi yang menggunakan unit satu silinder DOHC 149.16 cc suntikan bahan api dengan padanan kotak gear enam kelajuan, mampu menghasilkan 17.1 PS pada 9,000 rpm dan 14.4 Nm tork pada 7,000 rpm.

Source: Read Full Article