Honda dedah papan pemuka EV prototaip akan datang

Semasa Geneva Motor Show 2019 nanti, Honda akan membawa sebuah kenderaan EV prototaip, dan rupa luarannya telah pun ditunjuk sebelum ini. Terbaru, Honda mendedahkan pula sedikit bahagian dalam kenderaan yang masih belum mempunyai nama ini, atau lebih tepat lagi, bahagian papan pemuka.

Papan pemuka ini dilihat mendapat inspirasi yang jelas daripada model Urban EV Concept yang pernah ditunjukkan pada tahun 2017, terutamanya pada bahagian skrin yang lebar serta panel rata seakan menggunakan kayu. Kereta ini menggunakan kamera untuk menggantikan cermin sisi, dan gambarannya akan terpapar di skrin tersebut.

Perkara lain yang boleh dilihat pada gambar ini adalah stereng berbentuk klasik, tetapi mempunyai butang kawalan sistem infotainmen dan adaptive cruise control. Di hujung tuil pengawal pengelap cermin pula terlihat butang bertanda kamera, berkemungkinan untuk pandangan 360 darjah sekeliling kereta.

Di atas panel kayu itu, terdapat beberapa butang utama untuk mengawal sistem infotainmen, manakala bawah padanya terdapat corong pendingin hawa, butang pemula enjin dan pengawal pendingin hawa. Melihat kepada skrin lebar itu, ia dibahagikan kepada tiga, dan anda boleh berinteraksi dengannya menggunakan sentuhan.

Daripada menu yang terpapar dalam gambar ini, kita boleh melihat kereta konsep ini dilengkapi dengan Personal Assistant, sambungan telefon pintar dan pelbagai lagi aplikasi. Buat masa sekarang kita masih tidak tahu sama ada kereta ini adalah petunjuk awal untuk sebuah model produksi, dan bersama kita nantikan berita apabila ia didedahkan secara penuh nanti.

Source: Read Full Article