Hyundai Sonata Hybrid didedah – pertama di dunia guna teknologi transmisi ASC, bumbung solar

Hyundai telah pun mendedahkan buat kali pertama Sonata Hybrid, yang menggunakan teknologi termaju syarikat itu. Antara teknologi yang dimaksudkan adalah transmisi Active Shift Control (ASC), yang mana Sonata Hybrid ini adalah kenderaan pertama di dunia yang menggunakan teknologi tersebut dan bumbung solar (kenderaan Hyundai pertama yang menggunakannya).

ASC secara ringkasnya menggunakan perisian pengawal logik baru untuk Hybrid Control Unit (HCU), yang kemudian mengawal motor elektrik untuk menyelaraskan laju putaran enjin dengan transmisi, bagi mengurangkan waktu penukaran gear sehingga 30%. Walaupun lebih pantas, teknologi ini masih dapat memberikan penukaran gear yang lebih lancar.

Untuk bumbung solar itu pula, ia membantu mengecas kembali bateri hibrid pada kenderaan, sekaligus mengelakkan pengurangan kuasa yang tidak sepatutnya pada bateri tersebut. Dalam tempoh satu tahun, sistem bumbung solar ini, bersama pengecasan enam jam setiap hari dapat meningkatkan jarak penggunaan sehingga tambahan 1,300 km lagi.



Penggerak Sonata Hybrid adalah enjin Smartstream G2.0 GDi HEV yang dipadankan bersama transmisi enam kelajuan, mampu menghasilkan 152 PS dan 188 Nm tork. Kemudiannya, ia dibantu dengan motor elektrik berkuasa 38 kW dan 205 Nm tork, untuk menghasilkan kuasa keseluruhan 195 PS dan memberikan penggunaan bahan api sehingga 20.1 km/l.

Pada aspek penampilan, Sonata Hybrid ini mempunyai perbezaan yang minimal dengan Sonata 2020 yang ditunjukkan buat pertama kali pada bulan Mac lalu. Bahagian yang unik termasuk gril hadapan, spoiler belakang dan rim. Selain daripada itu, Sonata Hybrid juga didatangkan dengan sistem kunci digital baru, Forward Collision-Avoidance Assist dan Lane Follow Assist.

Source: Read Full Article