Jaguar I-Pace menangi Kereta Tahunan Dunia 2019

Jaguar mencipta kejayaan sekali lagi apabila diumumkan memenangi Anugerah Kereta Tahunan Dunia 2019 bagi model I-Pace, di New York International Auto Show yang baru membuka tirainya. Malah Jaguar turut meraih tiga anugerah daripada enam kategori yang dipertandingkan.

Sebelum ini, I-Pace, kenderaan janaan semua-elektrik pertama dari pengeluar kereta Britain ini, pernah menerima anugerah Kereta Tahunan Eropah 2019 dan Kereta Tahunan Jerman 2019.

I-Pace bersaing rapat dengan SUV elektrik iaitu Audi e-tron yang menduduki tangga kedua, manakala Volvo S60/V60 pula di tangga ketiga. Model lain yang turut bertanding dalam kategori sama termasuklah BMW 3 Series G20, Ford Focus Mk4, Genesis G70, Hyundai Nexo, Mercedes-Benz A-Class W177, Suzuki Jimny dan Volvo XC40.

Dalam penganjuran yang sama, I-Pace turut memenangi anugerah Kereta Hijau Tahunan Dunia dengan menewaskan e-tron dan Nexo. Malah turut dipilih sebagai Rekaan Kereta Tahunan Dunia dengan menewaskan Jimny dan XC40.



Sementara itu, Audi A7 Sportback pula telah dinobatkan sebagai Kereta Mewah Tahunan Dunia, dengan mengenepikan pencabar terdekatnya iaitu Audi Q8 dan BMW 8 Series. Berdasarkan keputusan undian, A7 menerima 763 mata berbanding 8 Series (761 mata) dan Q8 (760 mata). Turut berentap dalam kategori yang sama ialah Mercedes-Benz CLA C118 dan Volkswagen Toureg, dengan kedua-duanya menerima 745 mata.

Bagi kategori Kereta Prestasi Tahunan Dunia pula, McLaren 720S berjaya menewaskan Mercedes-AMG GT 4-pintu Coupe, Aston Martin Vantage, BMW M2 Competition dan Hyundai Veloster N.

Walau pun Jimny tidak berjaya memenangi sebarang anugerah utama, namun SUV mini off-road kegemaran ramai ini dinamakan sebagai Kereta Urban Tahunan Dunia, dengan mengenepikan Kia Soul, Hyundai Santro, Audi A1 dan SEAT Arona.

Selain itu, penganjur majlis turut mengiktiraf mendiang Sergio Machionne sebagai Individu Kereta Tahunan Dunia 2019. Ia adalah sebagai mengenang jasa beliau yang pernah memegang jawatan sebagai CEO di Fiat Chrysler Automobiles (FCA) dan juga pengerusi/CEO Ferrari sebelum meninggal dunia pada tahun 2018.

Source: Read Full Article