2020 Forte GT
Setelah sedan Kia K3 GT membuat penampilan di Korea Selatan awal bulan ini, kini model paling berkuasa dalam barisan model K3/Forte/Cerato generasi keempat tersebut bakal membuat penampilannya di Amerika Syarikat. Kia Forte GT berkenaan akan didedahkan pada acara kenderaan ubahsuai tahunan terbesar di negara tersebut iaitu pertunjukan Specialty Equipment Market Association atau lebih dikenali sebagai SEMA Show.
Berbeza dengan model standard yang dijana petrol NA Nu 2.0 liter kitaran Atkinson berkuasa 147 hp/180 Nm dengan kotak gear CVT, perut model GT ini disumbat dengan enjin 1.6 liter Gamma dengan suapan turbo dan sistem suntikan bahan api terus (T-GDI) yang mampu menghasilkan 201 hp dan tork maksima 264 Nm. Pada pasaran Korea, ia hanya ditawarkan dengan kotak gear klac berkembar automatik DCT tujuh-kelajuan, namun untuk pasaran Amerika ia turut diberikan pilihan transmisi manual enam-kelajuan.
Untuk suspensi, sistem torsion beam pada model standard digantikan dengan suspensi bebas jenis multilink pada versi GT ini. Bukan itu sahaja, bahagian berkenaan turut diberikan bar anti oleng dengan diameter lebih besar bagi memberikan pengendalian, keselesaan, kestabilan dan kebolehan mengambil selekoh yang lebih baik.
Kuasa enjin yang lebih besar ini juga hadir sekali sistem brek yang lebih besar pada bahagian hadapan bagi mendapatkan kuasa pemberhentian yang lebih baik. Manakala untuk roda pula, rim pelbagai jejari 18-inci yang dibekalkan dibalut dengan tayar berprestasi Michelin Pilot Sport 4.
Kia Forte GT ini juga tampil dengan rupa lebih garang dari model biasa. Bahagian hadapan diberikan bampar yang lebih agresif bersama gril mesh kemasan hitam berkilat dan serlahan berwarna merah di dalamnya, bersama kelengkapan lain pada keseluruhan badan termasuk cermin sisi berwarna hitam, skirt sisi lebih labuh, spoiler pada but belakang dan juga sistem ekzos dengan dua tip yang lebih sporty.
Masuk ke kabin, aura prestasi diberikan menerusi pemadanan tempat duduk sport yang dibalut dengan fabrik hitam dan jahitan benang merah, roda stereng rata di bawah, set pedal aloi, dan juga lampu suasana LED. Kesemua perincian yang dinyatakan ini adalah ciri standard untuk semua model Forte GT, dan sedan ini sebenarnya hadir dengan tiga varian iaitu GT, GT1 dan GT2.
Untuk varian GT, ia diberikan lampu hadapan LED dan sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin. Varian GT1 pula ditambah dengan bumbung suria, sistem penghawa dingin dua-zon, pengecas telefon pintar tanpa wayar Qi, paparan skrin LCD 4.2-inci pada panel instrumen dan juga sistem bunyi 320-watt dari Harman Kardon yang dihubungkan kepada lapan-pembesar suara. Manakala versi tertinggi GT2, ia diberikan tempat duduk Sofino GT dengan liang dan pemanas serta larasan berkuasa 10-hala pada bahagian pemandu.
Bagi ciri keselamatan, kesemua varian menerima Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW), Bantuan Mengelak Pelanggaran Hadapan (FCA), Amaran Keluar Laluan (LDW), Bantuan Kekal Lorong-Garisan (LKA-Line) serta Amaran Tumpuan Pemandu. Bagi varian GT1, ia turut disertakan dengan Amaran Pelanggaran Titik Buta (BCW) dengan Bantuan Tukar Lorong (LCA) dan Amaran Pelanggaran Lintasan Trafik Belakang (RCCW), manakala versi GT2 ditambah dengan Smart Cruise Control (SCC).
Selain model GT sebenar ini, Kia turut mengesahkan model ‘acah-acah’ GT turut akan diperkenalkan dikenali sebagai Kia Forte GT-Line. Ia menampilkan rupa garang seperti versi GT ini, tetapi dijana enjin 2.0 liter NA dan kotak gear CVT sama seperti model standard.
Source: Read Full Article