KLIMS18: Toyota Camry dilancarkan – 2.5V, RM189,900

Toyota Camry 2019 kini sudah dilancarkan secara rasmi oleh UMW Toyota Motor (UMWT) di KL International Motor Show (KLIMS) 2018. Model generasi kelapan ini ditawarkan dalam satu versi sahaja yang diimport dari Thailand (CBU), dinamakan sebagai Camry 2.5V dan dijual pada harga RM189,900 tidak termasuk insurans.

Selain daripada bentuk badan yang cukup menarik, Camry ini juga menggunakan platform baru Toyota New Global Architecture (TNGA) yang dikata dapat meningkatkan stabiliti, kelincahan serta keselamatan dalam waktu yang sama.

Jika dibandingkan dengan model sebelum ini, Camry generasi kelapan adalah lebih panjang 35 mm menjadi 4,885 mm, lebih lebar 15 mm menjadi 1,840 mm dan lebih rendah 25 mm menjadi 1,445 mm. Jarak rodanya pula 2,825 mm, iaitu 50 mm lebih panjang, yang membawa makna overhang juga lebih pendek.



Suspensinya pula didatangkan dengan jenis MacPherson di hadapan dan double wishbone di belakang, menggantikan tetapan multilink yang digunakan sebelum ini. Sistem stereng parallel axis EPS digunakan untuk mengawal pusingan roda, yang menggunakan rim 18 inci dan dibalut tayar 235/45. Ini adalah kali pertama Camry ditawarkan dengan rim 18 inci di Malaysia.

Di bawah hudnya keadaan masih tidak berubah, ia masih lagi menggunakan enjin empat-silinder 2AR-FE 2.5 liter, dipadankan dengan transmisi automatik enam kelajuan. Enjin yang mempunyai teknologi Dual VVT-i dan ACIS ini mampu memberikan kuasa 184 PS dan 235 Nm tork pada 4,100 rpm, dan ini adalah bersamaan dengan 4 PS lebih berbanding Camry sebelum ini.

Penggunaan enjin yang sama ini bermakna kita tidak akan menerima enjin 2.5 liter Dynamic Force (berkuasa 209 PS/250 Nm) terkini yang dijadikan sebagai pilihan di pasaran Thailand, dan ia dipadankan dengan transmisi automatik lapan kelajuan. Kita juga tidak menerima varian hibrid, yang ada ditawarkan di Thailand.

Kelengkapan lain yang ada pada bahagian luar Camry ini adalah termasuk lampu utama bi-LED projector automatik dengan lampu penunjuk arah, lampu siang, lampu kabus dan lampu belakang LED, cermin sisi yang boleh dilipat secara automatik, pengelap cermin automatik dan dua muncung ekzos di belakang.

Bahagian dalam juga boleh dikira lengkap dengan secara standard, ia didatangkan terus dengan tempat duduk dibalut kulit dan boleh dilaras lapan arah, stereng yang boleh dilaras secara elektronik, skrin sesentuh kapasitif lapan inci, sistem audio JBL sembilan pembesar suara, skrin berwarna tujuh inci di antara dua dial Optitron di panel instrumen dan head-up display (HUD) 10 inci.

Turut diberi adalah cermin pandang belakang electrochromic, sistem masuk tanpa kunci, butang pemula enjin, brek letak kenderaan elektronik (dengan fungsi brake hold), pengawal pendingin hawa dua zon dengan corong di belakang, penghadang matahari (elektrik untuk cermin belakang dan manual untuk pintu belakang), pengecas telefon tanpa wayar Qi dan perakam video digital.



Untuk ciri keselamatan, Camry baru ini datang dengan pakej Toyota Safety Sense yang termasuk Pre-collision System, Lane Departure Alert with Steering Assist, Dynamic Radar Cruise Control dan Automatic High Beam. Ini adalah sebagai tambahan kepada tujuh beg udara, Blind Spot Monitor with Rear Cross Traffic Alert, Hill Start Assist, pengesan jarak depan dan belakang serta sistem pemerhati tekanan angin tayar.

Enam warna ditawarkan untuk Camry 2.5V baru ini iaitu Red Mica, Platinum White Pearl Mica, Silver Metallic, Graphite Metallic dan Burning Black CS GF. Ia didatangkan dengan jaminan selama lima tahun tanpa had batuan dan setiap pembelian diberikan sekali dengan tint solar dan keselamatan UMWT.

Source: Read Full Article