KLIMS18: Toyota Vios baru dipertonton, tempahan dibuka – tiga varian, harga anggaran bermula RM77k

Ruang pameran Toyota di KLIMS 2018 merupakan antara yang menarik untuk diperhatikan. Selain pelancaran model Toyota Camry, ada sebuah lagi model massa yang dinanti-nantikan turut membuat penampilan umum yang pertama – Toyota Vios generasi terbaru.

Untuk pasaran Malaysia, tiga varian akan ditawarkan; Vios 1.5J, Vios 1.5E (AT) dan Vios 1.5G (AT). Semua varian ini dilengkapi dengan enjin 1.5L 2NR-FE empat-silinder sebaris, DOHC, 16-injap dengan Dual VVT-i yang menjana sebanyak 107 PS pada 6,000rpm dan 140 Nm tork pada 4,200 rpm. Transmisi pula menggunakan unit CVT dengan mod Sport Sequential Shiftmatic tujuh-kelajuan.

Harga bagi ketiga-tiga varian ini masih belum disahkan, tetapi anggarannya adalah sekitar RM77,200 bagi Vios 1.5J; RM81,200 bagi Vios 1.5E (AT) dan RM87,300 bagi Vios 1.5G (AT). Semua harga ini tidak termasuk insurans. Ia kini dibuka untuk tempahan.

Kelengkapan standard model ini antaranya terdiri daripada unit lampu utama reflektor halogen biasa, rim 15-inci, sistem tanpa kunci, butang penghidup enjin, tempat duduk fabrik, mode pemanduan dengan pilihan Eco dan Sport, pendingin hawa automatik, sensor parkir belakang, unit audio CD/radio dengan capaian Bluetooth dan empat pembesar suara.

Varian E pula menerima pertambahan lain, seperti lampu belakang LED, lampu kabus, cermin sisi boleh lipat automatik dengan lampu isyarat, cemrin depan akustik lebih baik, lipatan kerusi belakang 40:60 dengan perehat lengan, stereng multi-fungsi serta sistem infotianmen DVD-AVX dengan kamera 360-darjah.

Varian G pula hadir dengan lampu utama projektor, rim 16-inci, filem penapis filem premium, kerusi, stereng dan tombol balutan kulit, paddle shifter, kluster instrumen Optitron dengan paparan maklumat 4.2-inci, enam pembesar suara dan sensor parkir depan.



Dari sudut keselamatan, penawaran paling tinggi bagi Vios baru ini akan dilengkapi antaranya dengan tujuh beg udara, sistem peninjau titik buta dengan RCTA, sistem peninjau pandangan panoramik, kawalan bantuan mula mendaki (HAC) serta ciri perakam video digital hadapan (DVR) dengan ciri amaran perlanggaran depan (FCW) dan amaran pertukaran lorong (LDW).

Pilihan warna yang disediakan termasuk Dark Blue Metallic, Red Metallic, Attitude Black, Silver Metallic dan Super White II. Turut ditawarkan ialah kelengkapan pilihan termasuk sistem DVD-AVX bernilai RM2,160 bagi varian J, perakam video digital bernilai RM350, filem penapis haba premium berharga RM2,120 bagi varian E dan J serta RM2,800 bagi kit badan sporty.

Source: Read Full Article