McLaren 720S Spider didedah – kuasa 720 hp, 770 Nm

McLaren telah mendedahkan model baru bagi barisan Super Series mereka iaitu 720S Spider, dan ini sebenarnya adalah satu versi convertible bagi https://paultan.org/2017/03/08/mclaren-720s-model-generasi-kedua-super-series-0-100-kmj-dalam-2-9-saat-laju-maksimum-341kmj/ yang diperkenalkan Mac tahun lalu. Menurut pengeluar itu, walaupun 720S Spider ini tidak mempunyai bumbung, mereka tidak berkompromi dengan prestasi atas jalannya.

Sebagai contoh, pecutan 0-100 km/j dan laju maksimum 720S Spider ini adalah sama dengan model coupe iaitu masing-masing 2.9 saat dan 341 km/j. Tapi, laju maksimum itu hanya boleh dicapai dengan bumbung tertutup, dan jika terbuka, ia hanya boleh sampai ke 325 km/j sahaja. Sedikit sahaja kekurangannya, pecutan 0-200 km/j model Spider ini adalah 0.1 saat lebih lambat berbanding model coupe (7.9 saat).

Tahap prestasi ini dapat dicapai hasil penggunaan enjin V8 4.0 liter twin-turbo M840T yang terletak di tengah dan mampu menghasilkan keseluruhannya 720 PS dan 770 Nm tork. Enjin ini, bersama dengan kotak gear klac berkembar tujuh kelajuan SSG yang menghantar kuasa ke roda belakang adalah sama dengan apa yang digunakan pada model coupe.

Walaubagaimanapun, model Spider ini mencatat berat keseluruhan 49 kg lebih daripada model coupe, iaitu pada 1,332 kg namun masih lagi 88 kg lebih ringan berbanding pesaing terdekatnya, Ferrari 488 Spider. Peningkatan berat ini adalah disebabkan ia menggunakan struktur gentian karbon Monocage II-S, yang turut mempunyai struktur penyokong tetap yang bertindak sebagai pelindung penumpang sekiranya kenderaan terbalik.

Selain daripada itu, kekuatan struktur ini juga memberi makna ia tidak perlu sebarang pendakap lain walaupun bumbung dibuka. Kenaikan berat ini juga kebanyakannya datang daripada peralatan untuk melipat bumbung tersebut, dan menurut McLaren, ia boleh beroperasi dalam masa yang paling pantas dalam kelasnya, iaitu 11 saat untuk naik dan turun, dan boleh dilakukan pada kelajuan sehingga 50 km/j.

Dalam keadaan standard, bumbung model Spider ini dibuat daripada gentian karbon, tetapi pembeli juga mempunyai pilihan untuk mendapat versi dengan kaca elektrokromik. Pilihan yang lebih mahal ini dapat memberikan lebih banyak cahaya masuk ke dalam kenderaan semasa bumbung masih tertutup.

Daripada aspek rekaan, selain bumbungnya yang sudah jelas berbeza dengan model coupe, Spider ini juga mempunyai cermin belakang yang boleh diturunkan secara elektronik dan buttress baru. Ciri aerodinamik bawah kenderaan ini juga telah dirujuk kembali bagi memastikan ia berkesan dengan keseluruhan bentuk baru kenderaan manakala spoiler belakang aktifnya boleh naik dan turun dengan pemetaan yang berbeza.

Harga McLaren 720S Spider di UK bermula daripada 237,000 pound (RM1.26 juta), dan dijangka dapat dihantar kepada pelanggan bermula bulan Mac 2019. Ia adalah kenderaan kedua yang termasuk dalam rancangan perniagaan baru McLaren Automotive Track25, dan ditawarkan dalam tiga varian – Standard, Performance and Luxury.

Source: Read Full Article